Tumbuk dinding di pusat pengasingan, mahkamah tolak pengakuan bersalah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 OKT – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini telah menolak pengakuan bersalah seorang lelaki tempatan yang didakwa melakukan kerosakan dengan menumbuk dinding di COVID-19 Holding Area Mahad, Tutong.

Pertuduhan terhadap Mohd Amin bin Haji Suhaili, 46, selanjutnya menuduhnya melakukan kekerasan terhadap seorang anggota tentera yang bertugas di pusat pengasingan tersebut dengan menolaknya.

Dia juga kini menghadapi dakwaan lain kerana melakukan intimidasi jenayah dengan mengancam anggota tentera lain yang bertugas apabila dia meletakkan tangan kanannya di dada anggota tentera tersebut dan mengungkap kata-kata intimidasi.

Pendakwaan yang dihadapkan Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Norsuzanawati Pengiran Haji Abas itu membawa hukuman penjara yang panjang, denda dan sebatan.

Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman menolak pengakuan bersalah tertuduh terhadap pertuduhan tersebut kerana tertuduh mempertikaikan fakta kepada pelanggaran kesalahan tersebut.

Sehubungan dengan itu, mahkamah menangguhkan kes tersebut hingga 21 Oktober depan.