Tumbuk jerung demi selamatkan isteri

SYDNEY, 16 OGOS – Seorang lelaki dianggap sebagai ‘hero’ apabila menumbuk seekor ikan jerung bertubi-tubi sehingga melepaskan gigitan kaki isterinya.

Polis berkata, dalam kejadian pagi kelmarin ketika pasangan itu yang sedang seronok meluncur air di pantai berhampiran Port Macquire, empat jam perjala-nan di utara Sydney, tiba-tiba kaki kanan wanita itu digigit sebanyak dua kali.

“Suami mangsa menumbuk ikan jerung berkenaan sehingga haiwan itu melepaskan gigitannya,” kata polis.

Ahli paramedik yang bergegas ke tempat kejadian merawat mangsa berusia 35 tahun di pantai berkenaan sebelum dihantar ke hospital untuk menjalani pembedahan.

Sementara itu, seorang saksi yang berada dekat dengan kejadian berkata, seekor jerung putih yang menyerang mangsa berukuran kira-kira tiga meter panjang.

“Suami mangsa menyelamatkannya…dia seorang ‘hero’,” kata Jed Toohey kepada Daily Telegraph.

Suami mangsa, Mark Rapley, ketika memberitahu akhbar itu berkata, dia melakukan apa yang sepatutnya suami perlu lakukan bagi melindungi isteri.

Australia mencatatkan kes serangan ikan jerung antara yang tertinggi di dunia dan setakat ini menyebabkan lima kematian. – AFP