Tumpah minyak diesel, syarikat didenda $500

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 12 OGOS – Sebuah syarikat telah dikenakan denda kompaun sebanyak $500 oleh Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe) hari ini sebagai sebahagian daripada usaha untuk menguatkuasakan Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil, Bab 12, Penggal 30.

Syarikat terbabit didenda di bawah Bab 12(1)(c) kerana melakukan kesalahan menumpahkan cecair berbahaya iaitu minyak diesel ke kawasan tanah lapang yang terletak di Pulau Muara Besar.

Sehubungan itu, syarikat terbabit telah diberikan tempoh tujuh hari dari tarikh kompaun dikeluarkan untuk menjelaskan denda kompaun. Jika gagal menjelaskan bayaran denda, syarikat berkenaan boleh didakwa di mahkamah, dan jika sabit kesalahan, boleh didenda $1,000 bagi kesalahan pertama manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3,000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan

JASTRe ingin mengingatkan orang awam serta pemilik perniagaan supaya sentiasa menjaga kebersihan dan mengamalkan sifat bertanggungjawab terhadap kebersihan alam sekitar daripada sebarang pencemaran dalam negara.

Gambar menunjukkan tumpahan minyak diesel di kawasan terbuka di Pulau Muara Besar. – Gambar serahan JASTRe