MANILA, 29 MAC – Tumpahan minyak dari sebuah kapal tangki yang karam di luar pantai wilayah Oriental Mindoro sebulan lalu telah menjejaskan sekurang-kurangnya 63 tapak pelancongan dan 1,000 orang kakitangan pelancongan, menurut Jabatan Pelancongan Filipina.
Setiausaha Pelancongan, Christina Garcia Frasco berkata tapak pelancongan yang terjejas termasuk kawasan pelancongan berasaskan komuniti. “Kami sedang memantau dengan rapat,” katanya kepada penyiar tempatan, baru-baru ini.
Frasco berkata dia mengarahkan pejabat pelancongan wilayah ‘untuk merangka pelan tindakan pemulihan untuk membimbing pihak berkepentingan pelancongan’. Dia menambah bahawa kerajaan akan memberikan pelindungan sosial kepada pekerja pelancongan yang terjejas.
Dia berkata jabatannya akan memberikan petugas barisan hadapan yang terkesan ‘program latihan pembangunan kapasiti dan kemahiran untuk mempersiapkan dan memberikan mereka sumber mata pencarian alternatif’ selepas kejadian tumpahan minyak.
Kapal MT Princess Empress membawa kira-kira 800,000 liter minyak bahan bakar apabila ia karam di luar pantai Oriental Mindoro pada 28 Februari lalu, mengakibatkan tumpahan minyak berleluasa di Oriental Mindoro dan wilayah kejiranan. – Xinhua
