Tumpahan minyak cemari pantai Perancis

BREST, Perancis, 14 Mac – Tumpahan minyak sedang merebak ke arah pantai Perancis hari ini selepas sebuah kapal kargo Itali yang membawa 45 buah kontena bahan berbahaya karam di Atlantik, kata pihak berkuasa.

Tumpahan minyak sepanjang 10 kilometer dan satu kilometer lebar itu boleh menjejaskan sebahagian wilayah barat daya Perancis berhampiran bandar pelabuhan Bordeaux hujung minggu ini.

“Menurut ramalan kami, tompokannya dapat mencecah beberapa kawasan pantai di Nouvelle-Aquitaine pada Ahad atau Isnin akibat cuaca buruk yang juga berisiko menyulitkan operasi anti-pencemaran,” kata Menteri Alam Sekitar Francois de Rugy pada Rabu.

Perancis akan menghantar empat buah kapal untuk membantu mengawal tumpahan minyak di laut dan akan menyediakan operasi pembersihan di darat, katanya.

Kebakaran berlaku Ahad lalu ketika kapal The Grande America sedang dalam perjalanan dari Hamburg di Jerman menuju Casablanca di Maghribi.

Kesemua 27 anak kapal telah dipindahkan pada hari berikutnya apabila kebakaran semakin buruk sebelum kapal itu tenggelam kira-kira 300 km ke barat bandar La Rochelle pada Selasa.

“Buat masa ini risiko pencemaran mungkin akibat 2,200 tan bahan api berat,” kata Jean-Louis Lozier, ketua pihak berkuasa maritim serantau kepada pemberita di Brest di pantai Brittany Perancis.

Lozier berkata pemilik Itali kapal hibrid Grimaldi itu membawa 365 kontena termasuk 2,000 buah kenderaan, di mana 45 daripadanya membawa bahan berbahaya.

Jean-Louis Lozier bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di Brest kelmarin bagi memberikan perkembangan terkini mengenai tumpahan minyak selepas kapal The Grande America karam. – AFP