Wednesday, November 13, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tumpahan minyak di Kuwait

    BANDAR KUWAIT, 13 Ogos – Pekerja kecemasan sedang bergelut untuk membendung tumpahan minyak berhampiran padang minyak bersama Kuwait-Saudi di Teluk, kata seorang pegawai hari ini.

    “Kumpulan kecemasan minyak masih bergelut untuk mengawal satu tumpahan minyak berhampiran selatan kawasan Kuwait Ras Al-Zour,” kata jurucakap Kuwait Petroleum Corporation Talal al-Khaled dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita KUNA.

    Tidak adanya laporan rasmi mengenai sumber atau saiz tumpahan di perairan di luar pantai selatan Kuwait, berhampiran dengan padang minyak bersama Kuwait-Saudi di luar pesisir Al-Khafji.

    Bagaimanapun, media Kuwait hari ini memetik pakar minyak tempatan sebagai berkata tumpahan berasal daripada saluran paip lama sepanjang 50 kilometer dari Al-Khafji.

    Gambar dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Alam Sekitar Kuwait menunjukkan tumpahan minyak berhampiran selatan ras al-Zour, perairan Teluk Persia, Kuwait. – AP
    Gambar dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Alam Sekitar Kuwait menunjukkan tumpahan minyak berhampiran selatan ras al-Zour, perairan Teluk Persia, Kuwait. – AP

    Pakar menganggarkan sebanyak 35,000 tong minyak mentah mungkin telah dibocori ke dalam perairan di luar Al-Zour, di mana Kuwait sedang membina kompleks minyak besar bernilai $30 bilion yang termasuk kilang penapis yang akan mengeluarkan 615,000 tong sehari.

    Arab Saudi dan Bahrain, terletak di selatan Kuwait di sepanjang pantai Teluk, berkata tumpahan belum sampai ke perairan mereka.

    Arab Saudi berkata ia telah melaksanakan “pelan pengurusan krisis” dan sedang menjalankan tinjauan udara ke atas kilang minyaknya di sepanjang pantai dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita SPA. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda