Tumpu budaya SOP, kebiasaan baharu di sekolah

KOTA KINABALU, 24 JUN – Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan memberi tumpuan kepada pembudayaan prosedur operasi standard (SOP) asas kebiasaan baharu di sekolah bagi memastikan pelajar dapat mematuhi sekali gus mengamalkannya dalam usaha mencegah penularan COVID-19.

Pengarahnya Dr Mistirine Radin berkata, pihak sekolah di seluruh Sabah membuat persediaan rapi dengan menerapkan garis panduan SOP ditetapkan termasuk amalan penjarakan sosial dan pemeriksaan suhu badan pelajar masing-masing.

“Bagaimanapun, pembudayaan pematuhan SOP termasuk amalan penjarakan sosial dan selalu membasuh tangan perlu diberikan tumpuan selain daripada pembelajaran bagi memastikan tidak wujud kluster sekolah.

“Kami akan mengelakkan perkara ini (kluster sekolah) daripada berlaku,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pembukaan sesi persekolahan di Sekolah Menengah Tinggi Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Mistirine berkata pembukaan semula sesi persekolahan hari ini berjalan lancar di seluruh negeri dan pihaknya berpuas hati dengan persiapan dilakukan oleh setiap pengurusan sekolah terbabit. – Bernama