Tumpu latihan konsert

Bekas vokalis Exists, Mamat, yang dibebaskan daripada tahanan reman dengan jaminan polis, baru-baru ini, atas kesalahan dadah, akan terus dibawa ke ibu negara oleh penganjur konsert Reunion Exists, Shiraz Projects.

Ketua Pegawai Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim, yang berada di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara, berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan Mamat atau nama sebenarnya Mohd Ali Kamaruddin memberikan tumpuan pada latihan dan persiapan konsert gabungan semula kumpulan terbabit di Stadium Malawati, Shah Alam, 28 September ini.

Selaku penganjur konsert, pihak terbabit turut merancang sidang media khas bersama Mamat dalam masa terdekat. Sementara itu, anggota lain kumpulan berkenaan menyambut berita pembebasan rakan seperjuangan mereka dengan penuh syukur.

Beberapa hari yang lalu, media telah melaporkan penahanan bekas vokalis kumpulan muzik terkemuka 1990an ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru, kerana memiliki sejumlah dadah.

Sumber berkata, suspek lelaki berusia 41 tahun yang pernah memenangi tempat ketiga pertandingan realiti televisyen, empat tahun lalu, ditahan bersama seorang rakannya, kira-kira jam 11.30 malam.

Difahamkan, suspek ditahan selepas polis peronda yang melakukan pemeriksaan menemui sejumlah dadah dipercayai syabu dalam pemilikan mereka.

Ujian saringan awal air kencing turut mendapati kedua-dua lelaki itu positif dadah. – Agensi

Media telah melaporkan penahanan bekas vokalis kumpulan muzik terkemuka 1990an ketika menaiki motosikal di Taman Perling, Johor Bahru kerana memiliki sejumlah dadah. – Agensi