Tumpu pada inflasi rendah-Rizab Persekutuan

WASHINGTON, 12 DIS – Rizab Persekutuan mengekalkan kadar pinjaman utama kelmarin, namun berkata ia akan mengubah pandangannya terhadap inflasi dan perkembangan yang rendah dalam ekonomi dunia.

Ini merupakan petanda bahawa bank pusat yang memberikan jaminan untuk mengubah dasar jika perlu, sedang memantau kelembapan global dan ketiadaan tekanan harga yang berterusan yang boleh membuka pintu kepada langkah kadar seterusnya.

Semasa mesyuarat akhir pada tahun 2019, Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan telah menetapkan kadar faedah dalam julat 1.5 hingga 1.75 peratus, seperti yang dijangkakan, di mana ia telah kekal sejak pemotongan kadar ketiga pada bulan Oktober yang lalu.

Undian kali ini adalah sebulat suara, berikutan beberapa mesyuarat, di mana seorang atau lebih anggota FOMC membantah.

Walaupun keputusan ini dijangka secara meluas, ia bukanlah untuk menyenangkan hati Presiden Donald Trump yang berulang kali menghamun Persekutuan dan menggesa pengerusinya Jerome Powell supaya mengurangkan kadar kepada sifar untuk merangsang ekonomi Amerika Syarikat (AS), yang dikatakan oleh Trump, berada dalam keadaan tidak menguntungkan berbanding ekonomi asing denga kadar lebih rendah.

Powell sekali lagi berkata pegawai akan menunggu untuk melihat kesan rangsangan yang disediakan pada tahun ini, menambah kata beliau menjangka dasar sekarang ini ‘tetap sesuai’ sehingga sesuatu berlaku secara ‘nyata’ untuk mengubah prospek itu.

“Prospek ekonomi kami tetap menguntungkan meskipun perkembangan global dan risiko berterusan,” beritahu Powell kepada wartawan.

“Kami percaya dasar mata wang kewangan kami masih berada dalam kedudukan yang kukuh untuk penduduk AS.”

Dalam perubahan utama penyata dasar, FOMC menekankan ‘perkembangan global dan tekanan inflasi’ sebagai faktor yang akan dipantau dengan ketat. – AFP