Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Tumpu pendidikan berkualiti

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Menyentuh mengenai peruntukan yang diagihkan kepada kementerian-kementerian seperti Kementerian Pendidikan, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Suyoi bin Haji Osman (gambar) menyatakan, adalah wajar diberi tambahan bukan sahaja dalam menyediakan program-program baharu untuk meningkatkan kemahiran pelajar dan lepasan sekolah, namun kualiti bangunan-bangunan sekolah dan pengajian tinggi juga sama perlu.

    Beliau dalam perbahasan pembentangan belanjawan pada hari keempat permesyuaratan MMN yang berlangsung di Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini, turut menyatakan mengenai penambahan keramaian guru-guru sekolah.

    Beliau juga berharap peruntukan yang diberikan kepada CfBT akan dapat memberi impak yang besar dalam tahap pencapaian pelajar di seluruh negara.

    “Ini untuk memastikan pendidikan di negara ini berkualiti tinggi dan mampu melahirkan pelajar-pelajar yang berkaliber tinggi menerajui masa depan negara.

    “Tetapi dalam kita mengharapkan guru-guru untuk meningkatkan kecekapan serta kemahiran dan membuat penyesuaian berterusan terhadap perubahan persekitaran, perkhidmatan dan kebajikan mereka juga perlu diberi perhatian,” tambah beliau.

    Yang Berhormat Pehin juga menyatakan harapan, dengan peruntukan yang besar diberikan kepada Kementerian Kesihatan, ia akan dapat mempertingkatkan mutu perkhidmatan penjagaan kesihatan dan rawatan di negara ini.

    “Ini tergantung kepada kakitangan kesihatan yang cukup, dari pakar, doktor, allied professional hingga ke jururawat,” katanya.

    Beliau berharap bukan saja bilangan mereka cukup melalui penetapan jawatan, mengadakan jawatan yang perlu dan kekosongan yang perlu diisi tetapi ia juga cukup dari segi latihan dan kepakaran yang diberikan.

    “Dalam perkara ini, jika kita terdapat alat-alat perubatan dan rawatan yang mahal dan canggih pun, kita masih memerlukan kakitangan hospital yang cekap dan terlatih untuk menggunakannya,” tambahnya.

    Oleh itu, ulasnya, kesejahteraan dan kebajikan pakar dan kakitangan perubatan sebagai petugas barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan perubatan, hendaklah jangan kita terlepas pandang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...