Tumpu pertanian pintar, manfaatkan teknologi digital

KUCHING, 23 Okt – Sarawak sedang memberi tumpuan kepada pertanian pintar dengan  memanfaatkan teknologi digital bagi membuat keputusan tepat masa dalam mengubah industri pertanian negeri menjadi sektor moden, kompetitif dan mapan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata ini penting untuk memastikan Sarawak menjadi destinasi pilihan bagi pelabur dan modal  teroka.

“Kerajaan komited untuk melengkapkan pemain industri dengan amalan  teknologi terkini untuk mengekalkan industri pertanian negeri sambil mencipta daya saing baharu di kalangan pesaing di kalangan negara jiran,” katanya.

Uggah, yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah, berkata demikian semasa merasmikan Persidangan Antarabangsa Pertanian dan Industri Asas Tani Sarawak (ICAAS) 2018 bersempena dengan Agrofest Sarawak yang pertama di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya bersama-sama dengan agensinya diberi mandat untuk menerajui pembangunan pertanian menerusi pertanian berasaskan komersial di tanah adat.

Selain merapatkan jurang pendapatan antara penduduk bandar dan luar bandar, beliau berkata matlamatnya adalah menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan menjelang 2030.

Uggah kemudian  menyaksikan upacara  menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Koridor Serantau (RECODA) dan Agrobank untuk bekerjasama dan menyediakan pembiayaan yang lebih mudah bagi pelabur dan petani di Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Mengulas mengenai MoU itu, beliau yakin bahawa program pembiayaan Agrobank yang dicadangkan akan memberi manfaat kepada usahawan tempatan untuk menyertai aktiviti pertanian komersil di Sarawak. – Bernama

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Unggah (tengah) menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni (tiga, kiri) dan Ketua Pegawai Strategik Agrobank Mohamad Taufik Mahamad Zakaria (dua, kanan) hari ini. – Bernama