Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 FEB – Negara Brunei Darussalam menyaksikan pe-ningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan kadar pertumbuhan 6.7 peratus pada suku kedua dan 2 peratus pada suku ketiga 2019.
Dengan pertumbuhan yang dicatatkan itu, Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin, yakin bahawa KDNK negara secara keseluruhannya menunjukkan prestasi yang lebih baik pada 2019 berbanding dengan tahun sebelumnya.
Dalam hubungan itu, sektor perkhidmatan negara dengan mempunyai 40 peratus bahagian dalam KDNK telah memberikan sumbangan signifikan kepada pertumbuhan KDNK negara dan oleh itu, pihak tertentu harus terus memperbaiki lagi sektor perkhidmatan seperti meningkatkan pelaburan dan perkhidmatan perbankan dalam subsektor kewangan, perkhidmatan kesihatan, pengangkutan udara, pendidikan dan perdagangan borong serta runcit, jelasnya lagi ketika menyampaikan ucaptama pada Taklimat Penyelidikan Global yang berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, Jerudong, hari ini.
Namun begitu, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf berkata dengan ketegangan geopolitik terutamanya di antara Amerika Syarikat dan China, situasi Brexit di United Kingdom dan wabak koronavirus, ia setentunya mempunyai impak kepada ekonomi global dan ia juga memberi kesan terhadap pertumbuhan KDNK Brunei khususnya sektor perkhidmatan terutamanya industri pelancongan.
“Dengan perubahan yang dibawa oleh era Revolusi Perindustrian ke-4 (IR4.0), kita harus berhati-hati, peka dan mengambil perhatian dalam mengekalkan standard kuat urus tadbir serta pada masa yang sama, menyeimbangkan keperluan bagi pertumbuhan untuk memastikan pertumbuhan mapan jangka panjang.

“Kita telah menyaksikan kesan buruk di seluruh dunia di mana hasil dapatan jangka pendek telah menyebabkan kesan yang tidak diingini kepada komuniti dan juga alam sekitar,” tambahnya.
Oleh itu, sambil kita memanfaatkan kemungkinan-kemungkinan yang wujud pada era digital, kita harus mengalihkan tumpuan kepada perusahaan mapan dan ancaman perubahan iklim,” ujarnya lagi.
Dalam hubungan itu, Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf merakamkan perasaan gembira dengan perkembangan Standard Chartered dalam usaha mereka menangani perubahan iklim menerusi dasar pembiayaan mapan dan pelancaran Bon Mapan (Sustainability Bond).
Bagi Brunei, perubahan iklim bukan sahaja merupakan isu global yang harus ditangani bersama, tetapi kita juga perlu berganding-bahu dalam mencapai strategi negara untuk mempelbagaikan ekonomi negara dan mengalih bebanan daripada kebergantungan kepada minyak dan gas.
Beliau juga menyatakan bahawa 2020 merupakan tahun yang menarik bagi Brunei di mana juga akan menyaksikan infrastruktur dan beberapa pelaburan perindustrian utama akan membuahkan hasil.
Dengan pengoperasian loji penapisan nanti, ia akan membuka lebih banyak peluang pekerjaan bagi warga tempatan dan meningkatkan momentum aliran perdagangan.
Pada masa yang sama, dengan pembinaan Jambatan Temburong hampir selesai, perkembangan aktiviti ekonomi dijangka bertambah di Daerah Temburong di mana ia juga akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.




























