Tumpu potensi pelancongan keilmuan dan keagamaan

CIREBON, Jawa Barat, 21 Feb – Prospek industri pelancongan kini tidak seharusnya berkonsepkan program berlibur dan membeli-belah semata-mata, sebaliknya perlu juga berfokuskan kepada program pelancongan ilmiah dan keagamaan. Pakej-pakej pelancongan berunsurkan keagamaan dan aktiviti ilmuan dilihat mempunyai potensi besar bagi menarik pelancong dari Indonesia, negara berpopulasi lebih 260 juta penduduk itu.

Timbalan Presiden Majlis Pelancongan Malaysia Datuk Sahariman Hamdan berkata lebih 80 peratus penduduk Indonesia beragama Islam, dan ejen-ejen pelancongan perlu proaktif dalam menyediakan pakej-pakej baharu yang bersesuaian.

“Program atau pakej umrah ke Tanah Suci misalnya, kekangan tertentu seperti jumlah pesawat di Indonesia yang tidak dapat menampung permintaan penduduknya yang ramai, perlu dilihat satu potensi besar oleh ejen-ejen pelancongan Malaysia.

“Selain itu, terdapat banyak pesantren atau pusat-pusat pengajian agama di Indonesia dan Malaysia yang perlu kita lihat sebagai satu prospek baharu bagi menyediakan pakej pelancongan baharu berkonsepkan pelancongan keilmuan,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata menerusi program ‘Malaysia-Indonesia: Tourism Gathering Tasikmalaya/Cirebon’ anjuran Tourism Malaysia di Indonesia, pihaknya mengenal pasti lebih 1,000 pesantren aktif di Tasikmalaya dan Cirebon di Jawa Barat. “Ejen-ejen pelancongan perlu proaktif bagi menawarkan pakej sedemikan, selain melancong ke tempat-tempat menarik, sertakan juga program-program ilmiah melibatkan tokoh- tokoh agama setempat atau popular misalnya, dalam berkongsi kelimuan.

“Pakej pelancongan perlu berubah, aktiviti membeli-belah hanya aktiviti sampingan, tonjolkan aktiviti kelimuan, ramai kini yang mahukan pakej sedemikian dan lebih bermanfaat,” katanya. – Bernama