Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JAN – Strategi mempelbagaikan ekonomi Negara Brunei Darussalam harus menumpukan kepada sektor-sektor nilai tambah tinggi seperti teknologi komunikasi dan maklumat dan industri kreatif serta perkhidmatan kewangan dan perniagaan.
Bagi menubuhkan sebuah pelan pembangunan strategik, negara harus menggubal dasar dari segi langkah-langkah penyelarasan yang berlainan sebagai contoh, insentif cukai dan perbelanjaan fiskal boleh diutamakan dengan menyediakan sebuah program perbelanjaan yang membantu membangunkan industri-industri nilai tambah tinggi yang tertentu.
Cadangan itu dikemukakan dalam rencana yang ditulis oleh Pakar Ekonomi, Dr Andrew Tsang yang diterbitkan melalui blog Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN+3 (AMRO) yang dikeluarkan, hari ini.
Terdahulu dalam rencana itu, Dr Tsang menyatakan bahawa sebagai sebuah negara kaya sumber, ekonomi Brunei bergantung berat kepada pembangunan sektor minyak dan gas.
Dalam beberapa dekad kebelakangan ini, pihak berkuasa Brunei telah mengenal pasti pentingnya untuk mempelbagaikan ekonomi negara bagi membangunkan kedayatahanannya dan ke arah itu, telah merancang sejak lewat 1990an untuk mengembangkan lagi pemacu ekonomi utamanya kepada sektor-sektor bukan sumber.
Menurutnya lagi, Brunei telah mencatatkan perkembangan dalam usaha mempelbagaikan ekonominya dalam beberapa tahun kebelakangan ini tetapi Brunei masih mempunyai ekonomi yang kurang pelbagai jika dibandingkan ekonomi-ekonomi kaya sumber lain seperti Emiriah Arab Bersatu, Indonesia dan Malaysia.
Dr Tsang dalam rencananya itu lagi menyatakan bahawa pihak berkuasa Brunei juga dapat menggalakkan kepelbagaian menerusi skim insentif pelaburan langsung asing dan menubuhkan usaha sama untuk mempercepatkan pembinaan infrastruktur terutamanya berkaitan dengan logistik bagi menyokong eksport produk-produk bukan minyak dan gas.
Pada masa yang sama, modal insan adalah amat penting dalam mempromosikan sektor perkhidmatan dan industri-industri nilai tambah tinggi di mana ke arah itu, kerajaan Brunei harus memperbaiki lagi pemadanan kemahiran dan pendidikan dengan keperluan bagi kepelbagaian seumpama itu.
Brunei juga perlu mengambil pendekatan strategik dan bersepadu ke arah pembangunan segmen ekonomi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di mana sebagai contoh, skim bantuan kewangan bagi PMKS boleh mengutamakan pembiayaan bagi sektor-sektor nilai tambah tinggi serta dasar-dasar cukai boleh digubal untuk mengurangkan kos perniagaan PMKS dalam sektor-sektor yang sama.
Dalam rencana itu, Dr Tsang memuji pihak berkuasa bagi usaha mempelbagaikan ekonomi yang disokong oleh simpanan fiskal yang kuat yang dipe-roleh daripada hasil minyak dan gas.
Brunei telah mencapai satu mercu tanda dalam usaha mempelbagaikan ekonomi pada 2020 dengan penubuhan Hengyi Industries dan permulaan operasinya pada lewat 2019. Hengyi menghasilkan produk-produk petrokimia menggunakan sebahagian besarnya minyak diimport, iaitu kepelbagaian ke dalam aktiviti hiliran.
Eksport petrokimia syarikat berkenaan dan harga minyak global yang turun mendadak telah menempatkan sektor bukan minyak dan gas merangkumi lebih daripada 50 peratus KDNK nominal buat kali pertama dalam rekod.
Pada masa yang sama, bahagian eksport bukan minyak dan gas negara juga meningkat secara signifikan kepada 48.6 peratus pada 2020 daripada 14.8 peratus pada 2019.
Dalam rencananya itu lagi, Dr Tsang menyatakan bahawa eksport produk-produk petrokimia telah membolehkan ekonomi untuk mengembang daripada pengeluaran terutamanya huluan kepada pengeluaran hiliran dan huluan.
Namun begitu, gas dan minyak mentah masih merangkumi komponen terbesar eksport negara dan pada masa yang sama, Brunei menganggap bahawa produk-produk petrokimia sebagai sebahagian daripada sektor bukan minyak dan gas tetapi produk berkenaan adalah masih berkaitan dengan industri minyak dan gas.
Di akhir rencana berkenaan, beliau menyatakan bahawa hasil Brunei terus bergantung tinggi kepada industri minyak dan gas dan ekonomi secara keseluruhan adalah terdedah kepada turun naik harga tenaga global dan penyusutan rizab minyak yang berterusan.