Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Tumpu tangani jurang krisis

    Oleh Sim Y. H.
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 22 SEPT – Dalam setiap cabaran terdapat peluang-peluang baharu bagi syarikat-syarikat tempatan untuk meneruskan kelangsungan dan mengembangkan perniagaan mereka.

    Sehubungan itu, syarikat-syarikat harus menumpukan usaha menangani jurang krisis pandemik dan mengambil maklum mengenai keadaan global yang penting seperti isu kebajikan, jelas Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin semasa menyampaikan ucaptama hari ini.

    Beliau berucap perkara tersebut semasa menyampaikan ucaptama bertajuk, New Opportunities For a New Economy, semasa Transform 2022, Forum Town Hall, Finding Opportunity After The Pandemic: Smart Ideas For Brunei SMEs, yang berlangsung di Hotel Radisson, hari ini.

    Yang Berhormat Dato seterusnya menambah, walaupun betapa teruk industri pelancongan negara terjejas disebabkan pandemik, namun begitu terdapat peluang bagi pemilik perniagaan untuk menyusun semula strategi dan memulakan semula.

    Pelancongan regeneratif semakin mendapat perhatian sebagai masa hadapan untuk industri berkenaan di mana para pelancongan diberikan peluang untuk mengalami dan memberi kembali kepada alam semula jadi dengan menjadikan tempat yang mereka lawati lebih baik daripada sebelumnya. Beliau menyatakan bahawa dengan Negara Brunei Darussalam mempunyai hutan dan biodiversiti yang kaya, negara mempunyai kelebihan untuk menjadi pemimpin dalam konsep baharu pelancongan regeneratif.

    Pengerusi Bank Baiduri, YAM Pengiran Muda Dr Abdul Fattaah bersama Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf dan Pengerusi Asia Inc Forum, Dato Timothy Ong.
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Abdul Manaf semasa menyampaikan ucaptama Transform 2022, Forum Town Hall di Hotel Radisson.
    Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau antara yang hadir semasa forum berkenaan.

    Yang Berhormat Dato berkata lagi, semasa tempoh pemulihan, Brunei Darussalam bertuah untuk terlibat dengan Mandai Park Holdings dengan kerjasama Banyan Tree Holdings Limited dari Singapura bagi membangunkan dan mengendalikan sebuah tempat peranginan mesra alam di Ulu Temburong serta pada masa yang sama, mendidik pengembara mengenai usaha pemuliharaan dan hutan hujan negara ini. Pada masa ini, ulasnya lagi, generasi baharu pelancong yang dikenali sebagai Free Independent Travelers (FIT) yang merancang perjalanan mereka sendiri, mengelakkan pelancongan massa, percutian pakej dan lawatan berkumpulan, berkeinginan untuk mengembara ke destinasi-destinasi mutiara yang kurang dikenali.

    Beliau seterusnya menerangkan bahawa dengan perubahan kepada cara hidup kita dan demografi pelancong antarabangsa kini semakin diwakili oleh warga digital asli, golongan Millenial dan Generasi Z, perniagaan perlu untuk merebut peluang yang ada untuk memanfaatkan peralatan dalam talian dan digital seperti media sosial dan aplikasi mudah alih ke dalam perkhidmatan dan produk mereka. Sebagai contoh, jelasnya lagi, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah bekerjasama dengan sebuah syarikat tempatan baru-baru ini, untuk membangunkan dan melancarkan sebuah aplikasi pemandu pelancong audio digital sebagai sebahagian daripada pendigitalan pelancongan di Brunei Darussalam.

    Dalam nota lain, terdapat trend penyahglobalisasi terbalik berbanding globalisasi dalam sektor makanan di seluruh dunia. Disebabkan oleh kesukaran logistik semasa krisis berkenaan, perniagaan sedang beralih daripada rantaian bekalan global tepat pada masanya ke arah konsep sara diri.

    Pengeluar makanan kini lebih suka menyetempatkan rantaian bekalan supaya kekal berdaya tahan kepada kejutan global dan adalah tidak dapat dielakkan bagi operasi perniagaan tempatan untuk mening-katkan produktiviti dan kapasiti pengeluaran domestik.

    Beliau berkata bahawa peluang-peluang dalam sektor makanan bukan sahaja bagi memenuhi permintaan domestik tetapi juga untuk eksport. Oleh itu, syarikat-syarikat baharu digalakkan untuk menyertai usaha memasuki rantaian nilai pengeluaran makanan berkenaan.

    Beliau menyatakan untuk meningkatkan produktiviti dalam sektor berkenaan dengan pantas dan untuk mengurangkan sebarang kekurangan makanan, pemain-pemain industri makanan baharu dan sedia ada perlu untuk melabur dan mencari kaedah pengeluaran yang lebih efisien.

    Dalam hubungan itu, beliau menyatakan perasaan teruja untuk melihat ramai pendatang baharu khususnya usaha pertanian Brunei muda yang mula untuk menerima dan menggunakan teknologi serta juga peralatan digital dalam operasi mereka untuk menangani kekurangan buruh.

    Usahawan pertanian sedang menggunakan automasi bagi tugasan ladang berat dan harian dengan memanfaatkan teknologi moden seperti menggunakan dron bagi pemberian baja yang efektif dan Internet of Things (IOTs) bagi sistem pengeluaran tanaman automatik dan pemantauan ladang.

    Beliau menambah bahawa terdapat lebih banyak kemungkinan dalam industri makanan yang menanti untuk ditemui dan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam juga sedang mengukuhkan kapasiti pihak berkuasa yang berwibawa untuk memastikan keselamatan dan sekuriti makanan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...