Tumpuan lebih kepada sarawak, sabah

KUCHING, 16 SEPT – Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan komitmen bahawa Kerajaan Pusat akan memberikan lebih tumpuan kepada pembangunan di Sarawak dan Sabah selaras Wawasan Kemakmuran Bersama yang baharu diperkenalkan.

Perdana Menteri mengakui bahawa keadaan di kedua-dua negeri berkenaan masih kurang diberi tumpuan berbanding negeri-negeri di Semenanjung.

“Kita dapati kerajaan sebelum ini tidak memberi tumpuan sepenuhnya kepada negeri Sarawak. Kalau kita bandingkan kita lihat keadaan di Sarawak ini yang kaya dengan minyak tetapi pembangunan tidak diagih sama rata antara rakyat di negeri Sarawak sendiri dan antara Sarawak dan Semenanjung.

“Ini kita tentukan daripada kajian-kajian yang kita telah lakukan bahawa kita perlu beri tumpuan lebih kepada Sarawak dan Sabah supaya rakyat di negeri-negeri ini akan dapat layanan sama dengan Semenanjung,” katanya dalam ucapannya pada Program Berambeh (Ramah Mesra) Bersatu Sarawak di sini, hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa tumpuan lebih kepada dua negeri berkenaan bukan atas sebab pilih kasih. “Tetapi kerana kenyataan sebenar bahawa walaupun negeri Sarawak negeri besar daripada (negeri-negeri) Semenanjung, tetapi pembangunannya agak ketinggalan melainkan di bandar-bandar, di luar bandar kita dapati kedudukan tidaklah seperti kita kehendaki.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) sempat berswafoto bersama ahli-ahli BERSATU ketika menghadiri majlis Berambeh BERSATU Sarawak. – Bernama

“Sebab itu satu dasar baharu telah diperkenalkan Kerajaan Pusat untuk negara kita dan dasar baharu ini adalah untuk lihat agihan kekayaan secara adil dan saksama, kita ingin lihat pembangunan bersama,” katanya.

Menghuraikan lagi mengenai dasar baharu yang diperkenalkan sebaik selesai Mesyuarat Khas Kabinet Sabtu lepas, Dr Mahathir berkata pelaksanaan dasar berkenaan berbeza daripada dasar yang diperkenalkan sebelum ini.

“Kita nak kemakmuran bersama ini dicapai pada penghujung usaha kita, bukan di permulaan…… Kali ini kita ingin tentukan kepada yang kurang bernasib baik diberikan peluang hanya dengan syarat mereka dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini, bukan untuk menjual lesen dan kontrak (yang diberikan) tetapi mereka akan berusaha sendiri.

“Malangnya mereka tidak berupaya dan tidak ada kemahiran. Untuk ini kita akan betulkan dengan cara memberi latihan, pengajaran tentang pengurusan wang mereka, tentang perniagaan mereka supaya bila dapat peluang, mereka tidak perlu jual kepada orang kaya, sebaliknya akan guna peluang itu untuk tingkat pendapatan mereka. Dengan itu jurang miskin dan kaya akan berkurangan,” katanya.

Dr Mahathir berkata, wawasan berkenaan telah disusun dengan rapi supaya ia dapat dilaksanakan dengan jayanya, namun berharap rakyat dapat memberi sokongan. – Bernama