SINGAPURA, 8 Jan – Singapura tidak akan berkompromi dengan sebarang unsur rasuah dan menjangkakan semua syarikat tempatan yang berurus niaga di luar negara akan menegakkan aspek integriti di peringkat masing-masing, kata Menteri Kanan Negara Kewangan dan Undang-Undang republik itu, Indranee Rajah.
Beliau yang dipetik oleh Channel NewsAsia (CNA), berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen republik itu mengenai skandal rasuah membabitkan unit pemasangan rig konglomerat Singapura, Keppel Corp.
Menurut laporan CNA, Keppel O&M mengumumkan pada 23 Disember lepas bahawa ia akan membayar denda berjumlah AS$422 juta yang merupakan sebahagian ketetapan global dengan pihak berkuasa di tiga negara membabitkan tuduhan rasuah.
Mengikut dokumen mahkamah Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat, Keppel O&M “mengetahui dan secara sengaja bersubahat” untuk merasuah pegawai dan ahli politik Brazil bagi mendapat imbuhan dalam bentuk urus niaga.
Menurut laporan itu, pembayaran tidak sah sebanyak AS$55 juta itu dilakukan antara 2001 hingga 2014 bagi membolehkan syarikat itu mendapat 13 kontrak daripada firma-firma minyak Brazil, Petrobas dan Sete Brasil.
Indranee dilaporkan berkata, kerajaan republik itu menjangkakan semua syarikat Singapura akan bertindak mematuhi sepenuhnya undang-undang negara serta bidang kuasa tempat mereka beroperasi.
Beliau turut mengingatkan syarikat-syarikat itu untuk tidak membawa balik amalan ‘asing dan di luar kebiasaan’ ke Singapura dan menegaskan bahawa kerajaan “tidak boleh bertindak sebagai polis global.”
“Syarikat-syarikat ini perlu berbuat demikian bagi memastikan (perjalanan) sistem yang bersih berikutan keperluan beroperasi dalam pelbagai persekitaran.
“Mereka perlu mewujudkan pendekatan dan cara operasi sendiri. Mereka tidak boleh merendahkan tahap integriti sendiri dan tidak boleh membawa pulang budaya atau amalan yang tidak sesuai dengan kebiasaan yang telah kita usahakan dan terapkan di sini,” katanya. – Bernama