Tun Dr Mahathir, isteri terima suntikan vaksin

LANGKAWI, 7 MAC – Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali hari ini menerima suntikan vaksin COVID-19, Pfizer-BioNTech di Pusat Pemberian Vaksin COVID-19 Daerah Langkawi di Kompleks Sukan Langkawi.

Bercakap kepada pemberita selepas menerima suntikan vaksin itu, Dr Mahathir yang kini berusia 95 tahun berkata beliau tidak mengalami sebarang kesan sampingan selepas suntikan vaksin berkenaan.

“Suntik vaksin ini tak rasa apa pun, sekejap saja cucuk (suntik) tak sampai satu minit. Tak rasa pening apa pun, saya harap semua rakyat Malaysia terima suntikan vaksin ini kerana kita perlu melawan wabak COVID-19. Vaksin ini dapat memberi perlindungan kepada kita,” katanya. – Bernama

Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali selepas menerima suntikan vaksin COVID-19. – Bernama