Tun Dr Mahathir umum parti baharu

KUALA LUMPUR, 7 OGOS – Tun Dr Mahathir Mohamad (gambar bawah) hari ini mengumumkan penubuhan parti baharu yang tidak terikat atau menyokong mana-mana gabungan parti sama ada Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN).

Dr Mahathir berkata asas perjuangan parti yang belum diberi nama itu masih mengekalkan dasar asal Bersatu yang diasaskannya bersama sebelum ini, iaitu menghapuskan rasuah dan kleptokrasi.

“Kami sedar Malaysia sudah ada banyak parti politik terutama dalam kalangan orang Melayu. Bukanlah niat kami untuk menambah kepada bilangan yang sudah ada. Tetapi kami menghadapi masalah luar biasa.

“Parti ini akan bersifat inklusif dan moderat, dan akan memperlihatkan kepada bangsa-bangsa lain bahawa orang Melayu adalah bangsa yang tidak khianat, berpegang pada janji dan tidak menolak kerjasama yang ikhlas dan berprinsip,” katanya dalam sidang media khas penubuhan parti itu. – Bernama