Tun Juhar Minta Tempoh

KOTA KINABALU, 27 SEPT – Pengundi mengambil masa selama sembilan jam 30 minit untuk memilih 73 wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang baru sahaja berakhir semalam namun teka-teki siapa Ketua Menteri baharu masih belum terjawab selepas 24 jam.

Kira-kira 1.12 juta pengundi telah menunaikan hak memilih wakil rakyat dan kini tiba giliran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan negeri melaksanakan tanggungjawab berdasarkan mandat diberikan rakyat.

Gabungan yang terdiri daripada Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) itu telah memperoleh 38 kerusi, lebih satu kerusi daripada majoriti mudah yang diperlukan iaitu 37 kerusi bagi membentuk kerajaan baharu.

Warisan Plus, yang terdiri daripada Parti Warisan, DAP, PKR dan UPKO pula telah mendapat 32 kerusi manakala Bebas memenangi tiga kerusi.

Pengerusi PN Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, Pengerusi BN Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin, Presiden STAR Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Setiausaha Agung PBS Datuk Jahid Jahim telah dibenarkan menghadap Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri kira-kira 3 petang.

Sejurus selepas itu, Bung Moktar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Lamag berkata Tun Juhar telah meminta tempoh untuk menentukan siapa yang akan dilantik sebagai Ketua Menteri Sabah yang baharu.

Ditanya masa yang akan diambil untuk membuat keputusan itu, Bung Moktar berkata ‘secepat mungkin’. – Bernama

Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika meninggalkan pekarangan Istana Negeri selepas mengadakan pertemuan selama lebih sejam dengan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri pada 27 September. – Bernama