Tunai ibadat korban

Pelakon dan penyanyi, Izzue Islam, meneruskan tradisi sambutan Aidiladha dengan melakukan ibadat korban di kampung kelahirannya di Kelantan.

Izzue atau nama lengkapnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, berkata dia dan isteri, Awin Nurin akan pulang ke kampung pada pagi Aidiladha untuk melaksanakan ibadat itu.

“Tidak hanya di Kelantan, kami juga melakukan korban di ibu negara. Sudah menjadi rutin saya dan isteri untuk pulang menyambut Aidiladha di kampung. Biarpun hanya bercuti sehari memandangkan saya terikat dengan jadual kerja padat, kami tetap pulang. Peluang itu amat saya hargai kerana dapat juga melepaskan rindu apabila berkumpul bersama keluarga,” katanya.

Di sebalik kegembiraan bertemu keluarga, Izzue berkata, sambutan Aidiladha kali ini kurang lengkap selepas kehilangan nenek tersayang, tahun lalu.

“Lazimnya, setiap kali Aidiladha, kami sekeluarga pasti berkumpul di rumah arwah nenek untuk menjalankan korban bersama-sama. Tetapi, tahun ini, nenek tidak lagi bersama dan kehilangannya begitu membekas di hati kami sekeluarga. Tidak tahu bagaimana perasaan kerana suasana sudah lagi tidak sama sejak nenek tiada. Paling saya rindu air tangan nenek kerana arwah sentiasa menyiapkan pelbagai hidangan istimewa untuk dinikmati pada hari perayaan,” katanya.

Berkongsi perkembangan kerjaya, bekas anggota Forteen itu berkata, dia menjayakan sitkom komedi, Pop Yeah Yeah yang memperkenalkan irama muzik era 1960-an kepada generasi baharu.

“Ia berkisar mengenai Jefri Dom lakonan Datuk AC Mizal yang menjadi pesaing terdekat penyanyi pada era 1960-an. Perubahan masa dan selera peminat membuatkan populariti lelaki itu semakin malap hingga memaksanya mengusahakan kafe demi kelangsungan hidup,” kata Izzue.

Selain Izzue, sitkom yang bersiaran di TV3 bermula 3 Ogos lalu itu turut menampilkan selebriti terkenal antaranya Emelda Rosemila, Shuk Sahar, Armada Ammar, Oktovia Manrose dan Sobri Anuar. – Agensi

Izzue Islam balik ke kampung halamannya untuk melakukan ibadat korban di Kelantan. – Agensi