Tunai solat Aidiladha mengikut SOP

KUALA LUMPUR, 31 JULAI – Tahun 2020 menyaksikan umat Islam di Malaysia meraikan Aidiladha dalam kebiasaan baharu susulan wabak COVID-19 yang masih mengancam dunia selain cuaca mendung dan hujan hampir di seluruh negara.

Dalam situasi itu juga, umat Islam bersyukur masih dapat menunaikan solat sunat Aidiladha dan melaksanakan ibadah korban tanpa mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan dalam mengekang penularan wabak itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara dalam suasana kebiasaan baharu.

Perdana Menteri yang memakai baju Melayu berwarna kuning kemerah-merahan serta lengkap bersampin, memakai penutup mulut dan hidung dan membawa sejadah sendiri bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah wabak COVID-19.

Di Kangar, Perlis dan Ipoh, Perak, penganjuran solat sunat Aidiladha diadakan dalam dua sesi bagi mematuhi SOP selain memberi ruang kepada lebih ramai umat Islam di negeri itu untuk bersama-sama menunaikan solat sunat itu.

Malah, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail bersama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dengan memakai penutup mulut dan hidung. Turut hadir, Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Nasihat kepada orang ramai untuk mematuhi SOP turut ditekankan dalam khutbah Aidiladha tahun ini, seperti yang disampaikan sendiri oleh Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor di surau kediaman rasminya di Seri Mentaloon, Alor Setar, Kedah.

Tinjauan Bernama di Kuala Lumpur juga menyaksikan ibadah korban dilaksanakan mengikut SOP yang ditetapkan seperti yang berlaku di Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz, Kampung Sungai Penchala dengan penyembelihan dibahagikan kepada beberapa sesi dengan setiap sesi melibatkan tidak lebih 200 orang.

Pematuhan SOP itu turut dipraktikkan di semua masjid dan surau di Sarawak dalam kedua-dua ibadah solat sunat dan penyembelihan. – Bernama

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilhat membaca doa selepas menunaikan solat sunat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, kelmarin. – Bernama