Tunai solat dengan kiblat yang betul

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 18 JUN – Bagi memudahkan para mualaf yang tinggal di rumah panjang mendapatkan arah kiblat yang tepat untuk mendirikan sembahyang, rombongan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan dari Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Dakwah Islamiah (PDI) dan Jabatan Ukur, Kementerian Pembangunan telah mengunjungi tiga lokasi berasingan kelmarin bagi melaksanakan projek memasang pelekat kiblat.

Hadir sama menyertai rombongan bagi melaksanakan projek tersebut di Rumah Panjang Julangan Titah di Melilas, Rumah Besar Sukang dan Rumah Panjang Penan itu ialah Pengarah PDI, Haji Abdul Rajid bin Haji Mohd Salleh; Penolong Pengarah PDI, Awang Abdul Aziz bin Haji Abdul Kahar, pegawai-pegawai kanan dari PDI serta pegawai-pegawai dari Jabatan Ukur.

Semasa kunjungan tersebut, acara tersebut diselajurkan dengan penyerahan sumbangan kepada saudara baharu yang baru memeluk agama Islam di kawasan berkenaan.

Selain daripada salah satu langkah dakwah dan syiar agama Islam di negara melalui peletakan dan penandaan arah kiblat, projek berkenaan juga bertujuan untuk memastikan bahawa pengunjung dan pelancong beragama Islam ke rumah panjang dan kawasan sekitarnya dapat melakukan sembahyang dengan betul.

Secara keseluruhan, 25 pelekat telah diserahkan dan dipasang di lokasi-lokasi tersebut, di mana PDI dan Jabatan Ukur merancang untuk terus menjalankan projek seumpamanya bagi saudara baharu di daerah berkenaan pada masa akan datang.

Haji Abdul Rajid ketika menyerahkan pelekat kiblat semasa acara tersebut. – Gambar oleh PDI