Thursday, April 25, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Tunai tanggungjawab dengan ikhlas, berfikiran terbuka

    Oleh Sim Y. H. 

    Gambar oleh Bahiyah Bakir dan Infofoto

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 2 MAC – Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN) diseru untuk berfikiran terbuka tetapi bebas daripada sebarang pengaruh luar. Ini bagi mengelak sebarang anasir yang mungkin mencemari kemurnian Calak KeBrunei.

    Ahli-ahli MMN juga diharap untuk menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas dengan memberikan pandangan dan bersikap terbuka dengan anak buah ketika mendapatkan pendapat dan maklum balas daripada mereka.

    Perkara tersebut ditekankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan Kesembilan belas bagi Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, hari ini.

    Ketika membahaskan sesuatu perkara, Baginda bertitah, sikap itu juga penting, sambil pemikiran jangan lari daripada mencari impak positif untuk negara kerana inilah masanya untuk berbincang tanpa terikat dengan syarat-syarat yang merugikan.

    Baginda Sultan turut menzahirkan harapan agar ahli-ahli MMN akan dapat menjadi teladan terbaik dalam menyuarakan isu-isu yang berbentuk strategik. Manakala perkara-perkara yang bersifat operasi dan taktikal bolehlah dibincangkan bersama agensi-agensi yang berkenaan di luar Dewan Majlis dari semasa ke semasa.

    “Sangat penting diambil kira ialah cabaran untuk meningkatkan hasil kerajaan Beta dan dalam masa yang sama, perbelanjaan yang akan dibahaskan dan diluluskan dalam mesyuarat ini nanti akan benar-benar memberi impak positif kepada negara dan rakyat tanpa terlalu banyak membebankan kerajaan Beta,” titah Baginda.

    Selain itu, Baginda turut menyentuh mengenai usaha untuk menangani isu pengangguran. Baginda yakin dengan kerjasama dan sokongan padu dari semua pihak yang berkepentingan, kadar pengangguran boleh dikurangkan seperti yang telah dicapai dahulu di mana kadar pengangguran menurun kepada 4.9 peratus pada 2021 berbanding 7.3 peratus pada 2020.

    “Kerajaan Beta melalui Sekretariat Tetap Manpower Planning and Employment Council (MPEC) sentiasa merancang dan melaksanakan beberapa strategi melalui pendekatan Whole of Government dan Whole of Nation supaya kebajikan dan kepentingan para pencari kerja tempatan diperkasa dengan latihan semula, dan peningkatan ilmu pengetahuan untuk memudahkan mendapat pekerjaan.”

    Baginda bertitah dalam meningkatkan kemahiran profesional anak-anak tempatan di syarikat swasta di Sektor Pembinaan dan Tenaga, HSE Competency Apprentice Program telah diperkenalkan untuk membolehkan mereka layak mendaftar sebagai workplace safety and health officer (WSHO) atau penyelaras di tempat kerja mengikut piawaian Safety, Health and Environmental National Authority (SHENA).

    Pada masa yang sama, kerajaan juga telah memperkenalkan Program SkillsPlus untuk memberikan peluang kepada anak-anak tempatan meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran. Program itu telah dilaratkan kepada empat sektor baharu iaitu Sektor Tenaga, Sektor Pembinaan, Sektor Pengangkutan dan Logistik serta Sektor HSE.

    Baginda Sultan seterusnya bertitah bahawa semasa Istiadat Pembukaan Rasmi Mesyuarat Pertama Dari Musim Permesyuaratan ke-18 MMN yang lalu, Baginda telah pun bertitah mengenai Skim Tabung Amanah Pekerja (TAP) dan kajian yang dilaksanakan bagi penambahbaikan skim persaraan dalam usaha kerajaan baginda mengukuhkan perlindungan sosial yang inklusif dan mampan, yang merupakan salah satu tunjang utama strategi jaminan sosial rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam.

    “Skim Persaraan Kebangsaan (SPK) baharu ini akan dapat memberikan pendapatan persaraan yang lebih baik daripada skim TAP yang ada pada masa ini dan juga akan menggalakkan ahli-ahli SPK untuk terus berusaha mencari dan mendapatkan pekerjaan sama ada di sektor swasta, Kerajaan atau secara persendirian di mana hasil daripada sumbangan ke dalam SPK akan menampung pada hari persaraan nanti.

    Mengenai komitmen negara ke arah perubahan iklim, Baginda Sultan telah memperkenankan Negara Brunei Darussalam untuk menjadi tuan rumah bagi Pusat Perubahan Iklim ASEAN yang akan menempatkan pakar-pakar dari dalam dan luar negara untuk menjalankan kegiatan penyelidikan, berkaitan dengan perubahan iklim.

    Baginda bertitah, “Ini selaras dengan Dasar Perubahan Iklim Negara, pada mana satu direktif, Inventori Karbon menggunakan Centralised Inventory System, akan diperkenalkan dalam usaha negara melaksanakan pemantauan dan mengesahkan data gas rumah hijau secara telus, konsisten dan tepat,” titah Baginda

    Dengan maklumat itu, Baginda bertitah, pada penghujung 2023, pelan kebangsaan adaptasi perubahan iklim akan dirangka sebagai usaha penyelarasan dan penyesuaian dengan perubahan iklim.

    Baginda menyentuh mengenai bidang ekonomi di mana mengikut Laporan Ringkasan Annual Census of Enterprises 2021 yang disediakan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) bagi 2020, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membentuk 97.2 peratus daripada jumlah keseluruhan perusahaan aktif di negara ini pada 2020.

    “Dengan demikian, peranan PMKS adalah sangat penting dalam menggiatkan ekonomi negara, dan dengan itu, persekitaran perniagaan, harus pula terus diperbaiki untuk menggalakkan lebih ramai lagi usahawan untuk menceburi bidang perniagaan dan perusahaan, serta menggalakkan perusahaan-perusahaan yang sedia ada untuk terus berkembang.

    “PMKS juga perlu berani membuat peluang bagi mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara, kerana ini akan menghasilkan high-value add kepada ekonomi negara,” titah Baginda

    Pihak Darussalam Enterprise (DARe) telah dan akan terus menyediakan skim bantuan dan program latihan serta khidmat nasihat untuk dimanfaatkan sepenuhnya oleh PMKS.

    DARe juga telah memudah cara beberapa projek strategik di berbagai sektor utama yang dikenal pasti seperti sektor agrimakanan dan sektor pembangunan bagi meningkatkan persekitaran kondusif ke arah menjana lebih banyak aktiviti perekonomian yang mendukung sara diri dan berorientasikan eksport.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa berkenan berangkat ke Majlis Istiadat Pembukaan Rasmi, Mesyuarat Pertama dari Musim Permesyuaratan ke-19 bagi Majlis Mesyuarat Negara Brunei Darussalam di Bangunan Dewan Majlis, Jalan Dewan Majlis, kelmarin.

     

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...