Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Jan – Allah S.W.T mengurniakan pelbagai nikmat kepada manusia antaranya nikmat harta kekayaan yang dianggap sebagai anugerah dan amanah daripada Allah S.W.T untuk diurus dan dibelanjakan sebaiknya ke jalan yang berfaedah dan baik.
Ini termasuklah memberi nafkah kepada orang-orang yang berada di bawah tanggungjawab dan menyalurkan ke arah perkara berkebajikan seperti bersedekah dan mengeluarkan zakat. Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai nikmat harta kepada manusia seterusnya menumpukan kepada mengeluarkan zakat.
Menurut khatib, mengeluarkan zakat adalah satu kewajipan dalam rukun Islam yang lima dan apabila telah cukup syarat dan haulnya, umat Islam hendaklah mengeluarkan zakat kerana ia diperintahkan Allah S.W.T.
Zakat pula terbahagi kepada dua iaitu zakat harta dan zakat fitrah namun masih ada yang mengambil ringan terhadap zakat harta berbanding zakat fitrah kerana banyak yang beranggapan bahawa zakat yang wajib ialah zakat fitrah sahaja.
“Sedangkan zakat harta itu sama kewajipan dengan zakat fitrah untuk dikeluarkan setelah cukup syaratnya,” kata khatib lagi.
Orang yang enggan membayar zakat sedangkan dia mampu berbuat demikian akan diazab di akhirat kelak manakala orang-orang yang mengeluarkan zakat pula akan memperoleh ganjaran besar daripada Allah S.W.T, tambah khatib.
Selain itu, tujuan zakat disyariatkan untuk mengagihkan kekayaan daripada golongan kaya kepada golongan yang kurang berkemampuan dan dengan membayar zakat juga, jelas khatib ia dapat membersihkan diri dari sifat mazmumah (tercela) seperti sifat kedekut, hasad dengki, iri hati, sombong, takbur dan sebagainya.
Menurutnya lagi, jika harta dimanfaatkan dengan sebaiknya dan digunakan dengan betul sudah pasti akan terjalin keharmonian di antara golongan kaya dan miskin.
“Menunaikan zakat juga dapat membentuk akhlak mahmudah (mulia) seperti bertakwa, pemurah, rasa bertolak ansur dan rasa simpati kepada golongan yang kurang bernasib baik,” jelasnya.
Orang yang membayar zakat tidak akan menyebabkan seseorang itu miskin atau berkurang hartanya ini, tegas khatib, kerana di dalam zakat itu ada hikmat berupa barakah atau keberkatan yang dikurniakan Allah S.W.T kepada pengeluar dan penerima zakat termasuk kepada harta yang dizakatkan.
Manakala barakah adalah satu nikmat Allah S.W.T yang tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi dapat dirasai dan dinikmati kesannya di dalam kehidupan seharian.
Dengan membayar zakat juga, kita akan mendapat keredaan daripada Allah S.W.T dan melahirkan sifat bersyukur terhadap nikmat yang dikurniakan dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara satu sama lain.
Ini juga halnya dengan bersedekah, ia juga mempunyai kelebihan dan ganjaran yang berlipat ganda seperti zakat, ia dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan serta dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan serta mengeratkan silaturahim.
“Amat mudah untuk menghulurkan sedekah seperti di tabung yang disediakan di masjid-masijd, di pusat membeli-belah dan lainnya termasuk Tabung Dana bagi Pembinaan Masjid Negara Brunei Darussalam,” jelas khatib.
Tabung-tabung sedekah ini merupakan satu peluang keemasan bagi orang Islam bertanam saham di akhirat yang mana saham itu sifatnya unik sehingga tidak terjangkau akal, tambah khatib.
Oleh itu sama-samalah kita mengambil peluang dan kesempatan untuk melakukan amal jariah, seru khatib.