Tunggu dulu dalam dua minggu lagi

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JUN – Dengan tempoh inkubasi tanpa sebarang jangkitan komuniti pandemik COVID-19 mencapai hari ke-28 pada 4 Jun, Negara Brunei Darussalam akan melangkah ke fasa kedua pelonggaran sekatan atau de-escalation tambahan dalam masa dua minggu lagi.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar (gambar bawah) ketika menjawab soalan pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah Kementerian Kesihatan hari ini menjelaskan, walaupun Brunei hampir mencapai 28 hari tempoh inkubasi, negara-negara jiran dan serantau masih menghadapi masalah pandemik COVID-19 dan meskipun keadaan di negara ini terkawal, kita masih perlu berawas.

Menurutnya lagi, sebenarnya negara sudah pun memulakan rancangan de-escalation peringkat pertama, dengan permulaan yang besar sekali adalah pembukaan sekolah dan masjid.

“Jadi, kita perlu menunggu dulu dalam dua minggu, dilihat apa usulnya (keadaan), selepas itu barulah kita bergerak ke fasa kedua,” jelasnya.

Beliau menjelaskan pada fasa kedua nanti, akan menyaksikan peningkatan kapasiti restoran-restoran, sekolah-sekolah yang mungkin akan membenarkan lebih ramai pelajar kembali memulakan pendidikan dan sebagainya.

“Kita akan mengumumkannya secara lebih terperinci lagi apabila tiba waktunya, namun setakat ini, apa yang perlu dan diingatkan lagi kepada orang ramai, bahawa kita masih dalam keadaan darurat COVID-19, walaupun telah mencapai dua tempoh inkubasi, tetapi kita perlu berawas-awas dan mesti patuh dengan saranan-saranan seperti penjarakan sosial dan mengawal perkumpulan ramai,” katanya. Beliau pada kesempatan itu turut mengingatkan pengendali restoran untuk menggunakan penutup mulut dan hidung serta seumpamanya terutama mereka yang menyedia dan menghantar makanan.

Ini juga termasuklah tukang gunting rambut dan lain-lain.

“Masa inilah lebih penting untuk kita mematuhinya, dalam waktu menunggu dua minggu ini kerana kalau ada dan kemudian kita tidak melakukan penjarakan sosial, tidak memakai penutup mulut dan hidung, seterusnya jika berlaku jangkitan, ia akan lebih cepat merebak. Maka kita tidak boleh leka,” tegas Yang Berhormat Dato. Beliau menekankan bahawa tempoh dua minggu ini benar-benar penting sebelum kita bergerak ke fasa seterusnya.