Tunggu lapan jam, Zizi Kirana naik hantu?

Penyanyi, Zizi Kirana meluahkan kekecewaan terhadap sikap seorang bakat baharu yang tidak berdisiplin dan datang lewat ketika menjayakan satu persembahan hingga menyusahkan banyak pihak.

Menceritakan pengalamannya, Zizi, 35, berkata dia terpaksa menegur penyanyi berkenaan supaya sedar dan tidak berulang kesilapan yang sama pada masa akan datang.

“Bayangkan, kami terpaksa menunggunya selama lapan jam. Itu tempoh paling lama yang pernah saya tunggu sepanjang menjadi artis. Bukan setakat naik hantu tetapi terkeluar segala jin.

“Saya terpaksa menegur kerana perbuatannya menyusahkan banyak pihak. Dia kena faham orang lain pun ada kerja lain yang perlu dilakukan.

“Sikapnya membuatkan banyak masa terbuang. Tak salah merendah diri dan menghormati orang kerana tentunya kita mahu bertahan lama apabila memasuki dunia muzik. Tak tahulah jika dia menjadi penyanyi semata-mata mahu popular,” katanya kepada BH Online.

Zizi Kirana meluahkan rasa kecewa terhadap sikap seorang bakat baharu yang tidak berdisiplin dan datang lewat ketika menjayakan satu persembahan hingga menyusahkan banyak pihak. – Agensi

Penyanyi yang terkenal dengan imej seksi ini ditemui pada majlis pelancaran sebuah jenama kasut terkemuka.

Pemilik nama lengkap Nur Fazelah @ Zizie Md Tahil itu berkata, pengalamannya yang bermula dari bawah banyak mengajar untuk menjadi seorang artis yang lebih bertanggungjawab.

“Dia bertuah meraih populariti dengan mudah. Ramai anak muda mahu berada pada tempatnya. Saya sendiri pun kena bekerja keras untuk berada pada tahap ini.

“Teringat ketika saya masih berada di Akademi Fantasia, pengetua kami, Puan Sri Tiara Jacqueline sering menasihati kami sentiasa menepati masa dan menghormati orang.

“Pesanan itulah yang saya pegang sampai sekarang,” katanya penyanyi kelahiran Sabah ini. – Agensi