LIBREVILLE, 24 Jan – Tunisia telah menjadi pasukan pertama untuk menjaringkan empat gol dalam perlawanan Piala Negara-Negara Afrika 2017 apabila mereka menewaskan Zimbabwe 4-2 di Libreville kelmarin bagi memastikan slot dalam peringkat suku akhir.
Pasukan Carthage Eagles itu, yang mendahului 4-1 dalam separuh masa pertama, menamatkan Kumpulan B di belakang Senegal.
Naim Sliti, Youssef Msakni, Taha Yassine Khenissi dan Wahbi Khazri masing-masing telah menjaringkan satu gol bagi Tunisia. Manakala dua gol Zimbabwe dijaringkan oleh Knowledge Musona dan pemain gantian, Tendai Ndoro.
Senegal menjuarai Kumpulan B dengan tujuh mata diikuti oleh Tunisia dengan enam mata, Algeria memperoleh dua mata dan Zimbabwe hanya mampu memperoleh satu mata.
Tunisia memulakan perlawanan di Stade de l’Amitie dengan mengetahui bahawa keputusan seri sudah memadai untuk kekal berada di tangga kedua dan mara ke peringkat kalah mati.

Tetapi tidak ada petanda bahawa Tunisia bermain hanya untuk mendapatkan satu mata dan Sliti telah menjaringkan gol melalui satu percubaan yang terbias di minit kesembilan.
Sliti membantu bagi jaringan kedua untuk Msakni di minit ke-22 dan Khenissi menewaskan penjaga gol Tatenda Mkuruva dari jarak dekat bagi gol ketiga Tunisia di minit ke-36.
Jaringan menarik Musona tiga minit sebelum rehat telah menawarkan sinar harapan kepada Zimbabwe, namun hanya mendapati ia hanya sementara apabila Khazri menyempurnakan sepakan penalti di minit ke-45.
Tempo perlawanan tidak dinafikan agak perlahan selepas rehat dengan kedua pasukan telah bermain tiga perlawanan dalam sembilan hari dan satu-satunya gol di separuh masa kedua diperoleh oleh Ndoro bagi gol kedua Zimbabwe.
“Kami mendapatkan semula penguasaan dengan baik di separuh masa pertama dan mencipta beberapa peluang,” kata jurulatih Tunisia kelahiran Poland, Henryk Kasperczak.
“Ia adalah satu persembahan yang memuaskan hati dan saya mengucapkan tahniah kepada para pemain saya. Kini kami akan berdepan dengan Burkina Faso, sebuah pasukan yang berkualiti dengan gabungan teknik dan serangan yang bagus.”
Jurulatih Zimbabwe, Callisto Pasuwa berkata: “Kami tewas perlawanan ini di awal permainan kerana kurang memberikan tumpuan.
“Saya rasa kami mempunyai potensi, tetapi perlu membuat persiapan dengan lebih baik.
Satu pengajaran daripada kejohanan ini adalah para pemain perlu memberikan tumpuan di sepanjang perlawanan.” – AFP