SOUSSE, TUNISIA, 23 DIS – Tunisia menahan puluhan orang termasuk menteri alam sekitar pada Isnin berhubung dengan insiden ratusan kontena buangan isi rumah yang dihantar dari Itali ke negara Afrika Utara.
Sebanyak 282 kontena dirampas pada musim panas ini oleh pegawai kastam Tunisia di bandar pelabuhan Mediterranean, Sousse.
Ia diisytiharkan mengandungi sisa plastik dari kilang kitar semula – tetapi sebaliknya mengandungi campuran buangan isi rumah, yang dilarang untuk import menurut undang-undang Tunisia.
Kes tersebut menunjukkan keadaan perdagangan global dalam sisa buangan, yang semakin berkembang meskipun dikenakan peraturan yang lebih ketat bertujuan menghalang negara-negara kaya dari membuang sisa berbahaya ke negara miskin.
Kontena diimport dalam dua buah kapal firma Tunisia, Soreplast, yang mendakwa mendapat kebenaran dari kerajaan untuk mengimport dan mengitar semula sisa plastik dari kilang. – AFP






























