Tunjuk perasaan gesa PM letak jawatan

BANGKOK, 19 SEPT – Ratusan penunjuk perasaan membanjiri jalan-jalan di Bangkok hari ini bagi menandakan ulang tahun rampasan kuasa tentera ke-15 yang menyingkirkan bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra.

Bekas perdana menteri itu, yang kini tinggal dalam buangan, kekal menjadi figura yang menonjol dalam politik negara tersebut sejak tentera menggulingkan kerajaannya pada 19 September 2006.

Para penunjuk perasaan membunyikan hon kereta bagi menyeru peletakan jawatan Perdana Menteri, Prayut Chan-O-Cha, bekas ketua tentera yang mula berkuasa selepas rampasan kuasa 2014.

“Sudah 15 tahun berlalu, kami masih di sini berjuang,” sorak Nattawut Saikuar, ahli politik yang lama bersekutu dengan Thaksin, dalam lautan penyokong mengibarkan bendera ‘Singkirkan Prayut’.

“Tidak kira berapa kali rampasan kuasa dibuat, mereka tidak dapat menghalang kami. Tidak kira berapa hebat jumlah kereta kebal mereka, ia tidak dapat menghentikan perjuangan rakyat.”

Thailand menyaksikan lebih belasan rampasan kuasa sejak pembubaran monarki pada 1932 oleh tentera, sering dilakukan dengan nama melindungi keluarga diraja.

Thaksin berkuasa didorong oleh kempen ‘Baju Merah’, kebanyakannya penyokong kelas pekerja yang melihatnya sebagai penyumbang populis seperti mengembalikan sistem penjagaan kesihatan menyeluruh. Namun beliau dibenci golongan elit Bangkok dan pihak tentera dan berdepan dengan banyak tuduhan rasuah. – AFP

Ratusan menyertai tunjuk perasaan di Bangkok mendesak Prayut Chan-O-Cha untuk meletak jawatan sebagai perdana menteri.- AFP