Turki akhiri perintah darurat

ISTANBUL, 18 Julai – Perintah darurat yang berkuatkuasa ke atas Turki selepas kegagalan rampasan kuasa pada 2016 berakhir hari ini, namun pihak pembangkang berasa khuatir bahawa perintah tersebut akan digantikan dengan langkah perundangan yang membawa kepada lebih banyak penindasan.

Pada 20 Julai 2016, Presiden Recep Tayyip Erdogan telah mengisytiharkan Turki dalam darurat, lima hari selepas pesawat perang mengebom Ankara dan pertempuran berdarah yang tercetus di Istanbul dalam satu pemberontakan yang mengorbankan 249 jiwa.

Perintah berkenaan yang biasanya bertahan dalam tiga bulan, dilanjutkan sebanyak tujuh kali, telah menyaksikan kira-kira 80,000 orang ditahan dan lebih 160,000 dipecat dari institusi awam.

Pembersihan besar-besaran dalam sejarah moden Turki bukan hanya menyasarkan penyokong Fethullah Gullen, seorang ulama yang berpangkalan di Amerika Syarikat yang dituduh sebagai dalang rampasan, malah melibatkan aktivis Kurdish dan kumpulan berhaluan kiri.

Seorang wanita mengibarkan bendera Turki ketika menyertai perarakan berdekatan Jambatan Bosphorus di Istanbul baru-baru ini. Negara itu semalam mengakhiri perintah darurat yang berkuat kuasa sejak kegagalan rampasan kuasa pada 2016. – AFP

Sementara itu, bekas pemimpin kumpulan pembangkang pro Parti Demokratik Rakyat Kurdish (HDP) iaitu Figen Yuksekdag dan Selahattin Demirtas, menanggung derita di dalam penjara selepas mereka ditahan pada November 2015 berhubung dakwaan mempunyai kaitan dengan militan Kurdish.

Semasa kempen pilihan raya presiden bulan lalu, yang dimenangi Erdogan, dia telah berjanji bahawa perintah darurat di negara itu akan berakhir.

Dan tepat pada jam 1 pagi waktu setempat esok (2200 GMT Rabu) perintah berkenaan akan berakhir tanpa sebarang pelanjutan dari kerajaan.

Namun pihak pembangkang berang berhubung penyerahan undang-undang baharu kerajaan kepada parlimen yang dilihat untuk memformalkan beberapa aspek kurang senang semasa perintah darurat dikuatkuasakan. – AFP