Turki buka kedutaan di Kathmandu tahun depan

NEW DELHI, 26 NOV – Turki, yang berhasrat mengembangkan hubungannya dengan negara-negara Asia, akan membuka kedutaan di Nepal tahun depan.

“Saya gembira mengetahui mengenai pembukaan Kedutaan Turki di Kathmandu tahun depan sebagai menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik,” kata Perdana Menteri Nepal Sher Bahadur Deuba pada Jumaat. Terdahulu beliau menerima kunjungan duta Turki ke India dan Nepal, Firat Sunel, yang berpangkalan di New Delhi.

Turki meningkatkan kehadiran diplomatiknya di rantau ini sebagai sebahagian daripada inisiatif Asia Baharu (Asia Anew), yang bertujuan untuk mempelbagaikan hubungan luar negara itu.

“Inisiatif Asia Baharu berhasrat untuk mencipta semula hubungan kukuh kami dengan Asia. Kami melakukannya dengan mempererat hubungan kami dengan negara-negara Asia melalui pendekatan pembangunan serantau, subrantau dan berasaskan negara,” kata Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu dalam satu temu bual pada Ogos. – Bernama