Turki ikrar terus lawan Kurdish

ANKARA, Turki, 14 Jan – Turki hari ini berikrar akan meneruskan kempen menentang militia Kurdish yang dianggap sebagai kumpulan pengganas tetapi disokong oleh Amerika Syarikat (AS) selepas Donald Trump mengingatkan tentang pemusnahan ekonomi sekiranya Ankara menyerang tentera Kurdish apabila tentera AS menarik diri.

Jurucakap Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, Ibrahim Kalin mengeluarkan kenyataan di Twitter bahawa ‘tidak adanya perbezaan’ di antara kumpulan pelampau Islamic State dan militia Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG).

“Kami akan terus menentang mereka semua.”

Tindak balas Turki diambil selepas Trump semalam mengingatkan di Twitter: “Akan memusnahkan ekonomi Turki jika mereka menyerang Kurds.”

“Donald Trump tidak dapat menjadi rakan dan sekutu anda. Turki menjangka AS menghormati perkongsian strategik kami dan tidak mahu ia disurami oleh propaganda pengganas,” kata Kalin dalam satu kenyataan di Twitter kepada Presiden AS.

Kereta kebal sedang dipindahkan oleh tentera Turki di Kirikhan, wilayah Hatay berhampiran sempadan Syria pada 12 Januari 2019. – AFP

Turki menganggap YPG sebagai ‘cabang pengganas’ Parti Pekerja Kurdistan (PKK), yang telah melancarkan pemberontakan ke atas kerajaan Turki sejak 1984.

PKK disenaraihitam sebagai pertubuhan pengganas oleh Ankara, AS dan Kesatuan Eropah.

Namun Washington telah bekerjasama rapat dengan YPG dalam beberapa tahun ini termasuk memberikan sokongan dan latihan tentera, dalam pertempuran menentang IS di Syria.

Kalin berkata bahawa ‘ia menjadi satu kesilapan teruk untuk menyamakan penduduk Kurd Syria dengan PKK’, sambil menambah bahawa Turki bertempur melawan pengganas bukannya penduduk Kurd Syria.

Sokongan Amerika kepada YPG telah menjadi salah satu sumber utama ketegangan di antara Turki dan AS, tetapi nampaknya terdapat sedikit perubahan dalam isu tersebut selepas Trump berkata pada bulan lalu 2,000 tentera AS akan menarik diri dari Syria.

Ankara mengalu-alukan keputusan pengunduran itu selepas Erdogan memberitahu Trump dalam satu panggilan telefon pada bulan lalu bahawa Turki boleh menghapus saki-baki IS. – AFP