Turki luluskan undang-undang ‘peronda malam’

ISTANBUL, 11 JUN – Parlimen Turki meluluskan satu rang undang-undang kontroversi semalam yang memberikan peronda lebih banyak kuasa, dengan pengkritik menuduh Presiden Recep Tayyip Erdogan mahu membangunkan ‘militia’ setia.

Undang-undang baharu itu memberikan ‘pengawal malam’, yang meronda di jalan pada malam untuk melaporkan rompakan dan gangguan, kuasa yang hampir sama dengan polis.

Mereka kini dibenarkan membawa senjata api dan mempunyai kuasa menghalang dan menggeledah orang.

Dengan lebih 28,000 anggota, institusi peronda malam, yang diletak di bawah kementerian dalam negeri dan wujud lebih 100 tahun lalu, telah berkembang pesat selepas percubaan rampasan kuasa pada Julai 2016 ke atas Erdogan.

Perdebatan rang undang-undang di parlimen mencetuskan perbalahan sengit semasa sesi hangat pada Selasa.

Parti AKP pimpinan Erdogan, yang mengemukakan rang tersebut, berkata peraturan baharu itu membolehkan peronda malam membantu penguat kuasa undang-undang dengan mematahkan rompakan dan mencegah serangan di jalan.

Namun pembangkang menuduh Erdogan bersikap kuku besi dengan menubuhkan angkatan bersenjata yang setia.

“Mereka menggunakan institusi pengawal malam untuk menubuhkan militia,” kata Mahir Polat daripada parti pembangkang CHP pada Selasa, menambah polis harus diperkukuhkan jika diperlukan. – AFP