Turki mesti hentikan ‘ancaman’ untuk mulakan rundingan

ATHENS, 4 SEPT – Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis hari ini memberitahu Turki supaya berhenti membuat ‘ancaman’ ke atas negaranya jika rundingan untuk meredakan ketegangan di timur Mediterranean mengenai sempadan maritim dan penerokaan gas dapat bermula.

“Hentikan ancaman agar perundingan boleh bermula,” kata Mitsotakis semasa bertemu dengan anggota kanan parti Komunis China yang sedang mengadakan kunjungan.

Ketegangan semakin memuncak disebabkan aktiviti penggerudian Turki di Mediterranean yang dikatakan oleh Greece dan Cyprus sebagai melanggar kedaulatan mereka. Turki pada 10 Ogos lalu mengerahkan kapal penyelidikan Oruc Reis dan kapal perang untuk mengiringinya ke perairan yang dipertikaikan di antara Cyprus dan kepulauan Greece, Kastellorizo dan Crete, dan sejak itu telah melanjutkan misi sebanyak tiga kali.

Greece bertindak balas dengan mengadakan latihan tentera laut dengan beberapa sekutu EU dan Emiriah Arab Bersatu, tidak jauh dari tempat penggerudian yang dijalankan Turki di antara Cyprus dan Crete minggu lalu.

Mitsotakis hari ini berkata bahawa Menteri Luar Greece, Nikos Dendias akan memberikan taklimat kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres di New York mengenai ‘aktiviti tanpa peraturan’ Turki.

Greece menafikan kelmarin bahawa ia telah bersetuju untuk mengadakan rundingan yang dibroker NATO dengan Turki untuk mengurangkan ketegangan berhubung sempadan maritim dan hak mencari gali gas.

Ketua NATO, Jens Stoltenberg sebelum itu berkata bahawa dua sekutu NATO telah ‘bersetuju untuk menyertai perbincangan teknikal bersama NATO untuk mewujudkan mekanisme untuk meredakan konflik tentera dan mengurangkan risiko insiden dan kemalangan di timur Mediterranean”.

Jurucakap kerajaan Greece, Stelios Petsas hari ini berkata inisiatif Stoltenberg ‘tidak dapat dianggap sebagai satu perjanjian untuk memulakan semula dialog’. – AFP

Tentera laut Greece mengadakan latihan ketenteraan bersama sekutu EU. Perdana Menteri Greece memberitahu Turki supaya berhenti membuat ‘ancaman’ ke atas negaranya jika rundingan untuk meredakan ketegangan di timur Mediterranean dapat dimulakan. – AP