Turki perketat undang-undang media sosial

ISTANBUL, 1 OKT – Turki hari ini memasuki era baharu apabila melaksanakan sekatan ke atas media sosial, sekali gus mengancam untuk menghapuskan penggunaan Facebook dan Twitter sekiranya perkongsian catatan berbaur kontroversi tidak dikeluarkan.

Undang-undang itu telah dipersetujui di Parlimen oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan dan menyusuli tindakan keras ke atas akhbar dan saluran televisyen di bawah parti pembangkang.

Penyokong bagi hak kebebasan bersuara juga tidak pasti sama ada kerajaan Erdogan mampu melaksanakan undang-undang yang disifatkan sebagai amat menyukarkan rakyat atau syarikat media sosial mampu mematuhi sepenuhnya syarat yang diberikan.

“Kami percaya dalam keadaan sekarang, sangat mustahil untuk negara seperti Turki mengawal media sosial, ia sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan rakyat,” kata Pengarah Pemerhati Hak Asasi Manusia Turki, Emma Sinclair-Webb.

Melalui undang-undang baharu itu, platform media sosial dengan lebih daripada sejuta pengguna harian dikehendaki membuka sebuah pejabat di Turki bagi membolehkan rundingan dilakukan berasaskan keputusan mahkamah tempatan bagi mengeluarkan kandungan sensitif dalam tempoh 48 jam.

Sekiranya peraturan itu dilanggar, mereka akan berdepan sekatan pengiklanan dan denda sehingga 40 juta lira Turki, selain hukuman terbesar adalah pengurangan jalur lebar sehingga 90 peratus sekali gus menjadikan platform berkenaan tidak dapat digunakan secara berkesan.

Kerajaan Turki juga menggesa syarikat media sosial mengambil pendekatan menyimpan data pengguna tempatan, walaupun undang-undang berkenaan telah dikeluarkan dari draf undang-undang akhir yang disahkan pada Julai lalu. – AFP