Turki, Rusia setuju gencatan senjata

BEIRUT, 6 MAC – Gencatan senjata di bahagian barat Syria telah dipersetujui di antara Rusia dan Turki berkuat kuasa hari ini, dengan harapan memberhentikan pertempuran sengit yang mencetuskan bencana kemanusiaan dan dikhuatiri meningkatkan serangan bersenjata.

Perjanjian di antara Presiden Rusia, Vladimir Putin dan rakan sejawat dari Turki, Recep Tayyip Erdogan dimeterai selepas keganasan yang memuncak di Idlib, wilayah barat laut Syria selepas Ankara menyerang pasukan rejim yang disokong oleh Rusia.

Hampir satu juta orang awam telah meninggalkan kediaman mereka disebabkan peperangan dan berpuluh-puluh askar Turki telah terbunuh.

Putin dan Erdogan bersetuju dengan gencatan senjata selepas enam jam mengadakan perjumpaan di Moscow.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berharap perjanjian itu akan memberikan gencatan sejata yang berpanjangan serta melindungi orang awam di Utara Syria, menurut jurucakap dalam satu kenyataan.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan, berjabat tangan pada sidang media bersama selepas perbincangan selama enam jam di Moscow. – AP

Pihak pemerhati hak asasi manusia Syria yang memantau peperangan, telah melaporkan pengeboman selepas beberapa minit sebelum tengah malam, berkata keadaan ‘kelihatan’ tenang di rantau tersebut selepas gencatan senjata dilaksanakan.

Badan pemantau yang berpangkalan di Britain itu melaporkan bahawa serangan udara Rusia dan Syria telah tamat namun terdapat ‘serangan artileri’ daripada rejim Syria menyasarkan kumpulan pemberontak’ di kawasan yang dikawal oleh pasukan jihad di sebahagian kawasan Aleepo dan Hama, bersempadan dengan Idlib.

Situasi di Idlib, kubu kuat terakhir pasukan pemberontak di Syria selepas sembilan tahun perang saudara, telah menjadi semakin kritikal di mana Ankara buat pertama kalinya melancarkan serangan ke atas pasukan rejim presiden Bashar al-Assad.

Terdahulu, Putin berkata ketika sidang media bahawa perjanjian tersebut akan ‘menjadi asas kepada pengakhiran peperangan’ di Idlib.

Erdogan sementara itu menambah bahawa Turki mempunyai hak untuk ‘menyerang balas dengan seluruh kekuatan dari sebarang serangan’ ke atas Damsyik.

Perjanjian tersebut akan membina satu koridor keselamatan sepanjang lebuh raya utama M4 di bahagian Utara Syria, di mana askar Rusia dan Turki akan sama-sama menjalankan rondaan bermula 15 Mac ini. – AFP