AMMAN, 17 OGOS – Turki berkata ia menyambut baik ‘mesej positif’ kepada masyarakat antarabangsa oleh pejuang Taliban hari ini, setelah berjaya merampas kuasa di Afghanistan.
Ankara mengadakan perbincangan dengan pemimpin Taliban mengenai pelbagai perkara sejak beberapa bulan kebelakangan, termasuk tawarannya untuk melindungi lapangan terbang Kabul berikutan pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS).
Turki memindahkan kakitangan kedutaannya ke lapangan terbang ketika pasukan Taliban bergerak menuju ibu kota pada hujung minggu dan memindahkan lebih dari 300 warga Turki dari Afghanistan semalam.
Bercakap dalam lawatan ke ibu kota Jordan, Amman, Menteri Luar Turki, Mevlut Cavusoglu berkata Ankara mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ mengenai tawarannya untuk melindungi lapangan terbang.
Tetapi dia mengatakan kenyataan awal yang dibuat oleh Taliban sangat menggalakkan.
“Kami mengalu-alukan mesej positif yang diberikan oleh Taliban kepada warga asing, misi diplomatik dan penduduk mereka sendiri.
“Saya harap kami akan melihat pendekatan yang sama dalam tindakan mereka,” katanya.
Cavusoglu menyatakan kakitangan Turki memainkan peranan keselamatan di hab udara yang strategik selama bertahun-tahun, sambil menambah Ankara ingin melihat bagaimana keadaan ke-selamatan di Kabul diuruskan.
“Kami meneruskan dialog dengan semua pihak di Afghanistan, termasuk Taliban,” katanya.
“Ketika ini, mereka akan membincangkan semua masalah secara tertutup. Siapa yang akan mengambil bahagian semasa peralihan, kerajaan bagaimana yang akan mereka tubuhkan dan kami akan melihat dan membincangkan semua ini.” – AFP































