Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Turki, Singapura sahkan perjanjian perdagangan bebas

    SINGAPURA, 21 Ogos – Turki dan Singapura mencatat satu lagi peristiwa penting dalam hubungan ekonomi dua hala mereka dengan pengesahan Perjanjian Perdagangan Bebas Turki-Singapura (TRSFTA) hari ini.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Menteri Perdagangan dan Industri Singapura, S. Iswaran berkata, perjanjian yang ditandatangani pada November 2015 itu akan berkuat kuasa pada 1 Oktober 2017.

    “Ia akan mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan untuk syarikat di kedua-dua negara.

    “Singapura dan Turki masing-masing berada di lokasi strategik di Asia dan Eropah dan boleh menjadi pintu masuk kepada pasaran serantau yang lebih besar. Saya berharap perkembangan hubungan perniagaan serta pelaburan antara Turki dan Singapura dapat dipertingkatkan lagi,” katanya.

    Menurut Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) Singapura, rundingan mengenai TRSFTA telah dilancarkan Perdana Menteri, Lee Hsien Loong serta Perdana Menteri pada masa itu dan kini Presiden Turki, Recep Tayyip Erdoğan pada Januari 2014 dan dimuktamadkan pada Okober 2015.

    Perdana Menteri Turki, Binali Yildirim (kiri) dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berjabat tangan sebelum mengadakan mesyuarat dua hala di Singapura kelmarin. – AP

    MTI berkata, pengesahan perjanjian tersebut dibina atas kerjasama strategik antara Lee dan Perdana Menteri Turki, Ahmet Davutoğlu pada Oktober 2014.

    “TRSFTA adalah perjanjian perdagangan bebas komprehensif Turki yang pertama dalam satu usaha tunggal.

    “Ia termasuk komitmen perjanjian pertama Turki dalam perolehan kerajaan dan elemen baharu seperti hak harta intelek, e-dagang, persaingan dan ketelusan,” kata kementerian berkenaan.

    Katanya,TRSFTA akan mengurangkan halangan kepada perdagangan dan pelaburan antara Turki dan Singapura, meningkatkan akses kepada sektor perkhidmatan dan pasaran perolehan, serta menggalakkan kesambungan lebih meluas antara perniagaan dan rakyat.

    Tarif untuk eksport Singapura ke Turki pada 80 peratus daripada semua barisan tarif akan dihapuskan serta-merta sebaik sahaja TRSFTA dikuatkuasakan, katanya.

    Menurutnya, ia akan meningkat kepada lebih 95 peratus daripada semua barisan tarif dalam tempoh 10 tahun.

    “TRSFTA akan membantu lebih banyak syarikat Singapura memanfaatkan lokasi strategik Turki sebagai pintu masuk ke pasaran serantau yang lebih besar di Eropah, Asia Tengah,Timur Tengah dan Afrika,” katanya.

    MTI berkata, syarikat Turki juga digalakkan menggunakan Singapura sebagai pangkalan mereka untuk meneroka peluang di rantau ASEAN yang pesat berkembang serta rantau lain. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda