Turki singkir 3 ahli parlimen pembangkang

ISTANBUL, 5 JUN – Parlimen Turki semalam melucutkan jawatan tiga penggubal undang-undang, sekali gus mencetuskan tuduhan bahawa kerajaan Presiden Recep Tayyip Erdogan cuba mengukuhkan pemerintahan kuku besi.

Parlimen yang dikuasai parti AKP pimpinan Erdogan menghalang Ahli Parlimen dari pembangkang utama, Parti Rakyat Republikan (CHP) dan dua lagi dari parti pro Kurdis, Parti Rakyat Demokratik daripada menyertai sidang itu.

Tindakan itu membatalkan imuniti Parlimen mereka, membuatkan kesemuanya berdepan hukuman penjara, susulan hukuman dijatuhkan mahkamah sebelum itu atas kesalahan risikan atau aktiviti berkaitan pengganas.

Musa Farisogullari dan Leyla Guven dari HDP berkata mereka ditahan beberapa jam selepas mandat Parlimen keduanya ditarik balik.

Farisogullari berkata beliau ditahan polis ketika dalam perjalanan dari Diyarbakir di tenggara Turki, menuju ke Ankara untuk melawat ibu pejabat parti. Guven yang melancarkan mogok lapar pada 2018, bagi menuntut pembebasan ketua Kurdis, Abduah Ocalan berkata, beliau turut ditahan di Diyarbakir.

“Membantah bermaksud hidup,” katanya menerusi Twitter di dalam bahasa Kurdis.

Terdahulu dalam sidang di Parlimen, keadaan menjadi tegang dan usul untuk menyingkirkan ahli parlimen berkenaan mencetuskan kemarahan, dengan barisan anggota pembangkang menumbuk dan menghentak meja masing-masing.

Ketua CHP, Kemal Kilicdaroglu, menyifatkan langkah itu sebagai satu lagi usaha Erdogan untuk menghancurkan pihak pembangkang selepas kegagalan rampasan kuasa pada 2016. – AFP