Turki tarik balik perintah berkurung

ANKARA, 13 APRIL – Turki pada tengah malam kelmarin menarik balik perintah berkurung selama 48 jam yang dikuat kuasa di 31 wilayah, sebagai langkah menghentikan penularan COVID-19, lapor agensi berita Anadolu.

Orang ramai tidak mematuhi perintah berkurung yang bermula pada tengah malam Jumaat itu, kata Kementerian Dalam Negeri.

Dalam satu kenyataan, kementerian berkata seramai 18,770 orang melanggar perintah sekatan akan dikenakan denda, namun butiran lanjut mengenainya tidak didedahkan.

Kerajaan terus menyekat pergerakan mereka yang berumur di bawah 20 tahun dan melebihi 65 tahun. Sekolah, pusat beli-belah, kafe dan restoran masih ditutup sementara hampir semua acara perhimpunan digantung.

Turki mencatatkan 97 lagi kematian dalam tempoh 24 jam lalu, menjadikan keseluruhan korban seramai 1,198 orang.

Jumlah kes positif melonjak kepada 56,956, menyaksikan lagi 4,789 orang dijangkiti, tulis Menteri Kesihatan Fahrettin Koca di Twitter. – Bernama