ANKARA, 20 MEI – Pfizer-BioNTech hari ini mengumumkan satu perjanjian untuk menghantar 60 juta dos tambahan vaksinnya ke Turki yang mungkin membantu memulihkan kempen inokulasi yang terbantut di negara itu.
Menteri Kesihatan Turki Fahrettin Koca berkata beliau berharap hantaran baharu itu dapat membantu negara yang mempunyai 84 juta penduduk itu mencapai ‘imuniti kolektif’ menjelang Ogos.
Pfizer-BioNTech berkata perjanjian termasuk pilihan untuk 30 juta dos yang mungkin membawa jumlah hantaran firma ASA-Jerman itu ke Turki kepada 120 juta dos tahun ini.
BioNTech ditubuhkan oleh ketua eksekutif Ugur Sahin dan isteri Ozlem Tureci – kedua-duanya anak penghijrah Turki ke Jerman.
Sahin telah meluahkan hasratnya untuk melihat Pfizer-BioNTech mencapai perjanjian besar dengan Turki yang dapat membantunya mengatasi krisis ekonomi yang terkesan teruk oleh pandemik.
“Kami bersyukur kerana berpeluang membuat sumbangan penting kepada usaha vaksinasi Turki dan kepercayaan yang diberikan kepada kami,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Televisyen NTV berkata Sahin akan hadir pada mesyuarat majlis saintifik kementerian kesihatan Turki pada lewat hari ini.
Turki telah mencatat lebih daripada 45,000 kematian berkaitan virus dan 5.2 juta jangkitan. – AFP




































