ISTANBUL, 14 JAN – Turkiye mengalami tahun paling panas dalam rekod pada 2024, menurut agensi cuacanya kelmarin, ketika gelombang suhu ekstrem semakin meningkat di seluruh dunia akibat perubahan iklim.
“Pada 2024, suhu purata di Turkiye adalah 15.6 darjah Celsius yang merupakan 1.7C lebih tinggi daripada purata antara 1991-2020,” menurut kenyataan tersebut.
“2024 adalah tahun paling panas dalam tempoh 53 tahun yang lalu,” tambah kenyataan itu, merujuk kepada tahun di mana Turkiye mula menyimpan rekod.
Rekod sebelumnya, iaitu 15.5 darjah, dicatat pada 2010.
Kebanyakan negara, termasuk China, Brazil, Jepun dan Amerika Syarikat juga mencatatkan tahun paling panas dalam rekod pada 2024, dengan India melaporkan suhu tertinggi yang pernah direkodkan sejak 1901.
Di Turkiye, suhu purata telah meningkat lebih tinggi daripada biasa setiap tahun sejak 2007, ‘kecuali pada 2011,’ tambah agensi tersebut.
Tahun lalu, hujan turun 6.3 peratus lebih rendah daripada biasa, dengan kekurangan hujan yang paling ketara di sepanjang pantai Aegean di rantau barat, yang dibelenggu kemarau teruk, di mana hujan turun 22.4 peratus lebih rendah. – AFP
