Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Turkiye hab gastronomi untuk penggemar makanan

    GAZIANTEP, TURKIYE – Di sebuah restoran tradisional di bandar Gaziantep di tenggara Turkiye, para cef, seperti semua rakan sejawat mereka di mana-mana restoran lain di hab gastronomi Turkiye, telah menyempurnakan tugasan mereka untuk membentuk semula resipi berabad-abad bagi memuaskan selera moden pelanggan.

    “Masakan kami kuno dan penuh kekayaan. Kami mempunyai kira-kira 500 resipi dan di sini kami menyajikan kira-kira 80 daripadanya kepada pelanggan kami,” kata Taner Olca, pemilik generasi ketiga restoran Yesemek kepada Xinhua.

    Dengan gabungan Timur dan Barat, warisan masakan Gaziantep yang kaya telah menjadi tunjang utama ekonomi tempatan.

    “Di Gaziantep, kami hidup untuk makanan. Semasa sarapan pagi, kami memikirkan apa yang akan kami makan untuk makan tengahari, dan semasa makan tengahari, apa yang akan kami makan pada waktu malam,” kata pemilik restoran itu.

    Kekayaan ramuan dan rempah ratus, serta pertukaran dan gabungan pelbagai budaya telah menjana tradisi budaya gastronomi unik Gaziantep, tambahnya.

    Pasar rempah ratus di Gaziantep. – Xinhua
    Para pelanggan menikmati hidangan di sebuah restoran di Gaziantep. – Xinhua
    Seorang tukang masak menunjukkan masakan yang dibuatnya. – Xinhua

    Salah satu karya kulinari di bandar ini ialah beyran, sup pedas yang sering dihidangkan sebagai sarapan pagi, di mana hirisan daging kambing lembut yang dihiasi dengan nasi ditenggelamkan dalam kuah yang kaya dan pedas penuh dengan kepingan lada merah.

    “Saya telah memasak beyran selama 35 tahun. Ia diperbuat daripada keseluruhan kambing kecuali kepala. Daging dimasak selama 14 jam di atas dapur khas sehari sebelum dihidangkan,” jelas Okkes Babacan, cef dari restoran Metanet yang terletak di pusat kota lama Gaziantep kepada Xinhua.

    “Ini adalah resipi yang diwarisi dari zaman Uthmaniyyah,” kata cef veteran itu. Gaziantep diisytiharkan sebagai Bandar Kreatif Gastronomi oleh UNESCO pada 2015, yang memegang tempat yang sangat istimewa dalam buku masakan Turkiye.

    “Kami mementingkan pelawat Asia, khususnya, kepada pelawat China yang datang ke Gaziantep untuk pelancongan budaya dan gastronomi,” kata Fatma Sahin, datuk bandar Perbandaran Metropolitan Gaziantep kepada Xinhua.

    Sahin berkata bandarnya mempunyai pelbagai jenis hidangan pada skala global untuk ditawarkan kepada penggemar makanan dari seluruh dunia.

    Kira-kira 60 peratus daripada profesional di Gaziantep bekerja dalam industri makanan, dan hampir 50 peratus daripada perusahaannya beroperasi dalam pembuatan makanan, menurut statistik rasmi tempatan.

    “Gaziantep ialah hab, tempat menyatukan tamadun yang menarik peminat makanan, pencinta sejarah dan mereka yang mencari budaya yang kaya dan pelbagai,” kata Osman Turgay Baloglu, seorang pesara guru tempatan. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...