Turkmenistan, Afghanistan buka landasan, talian tenaga baharu

ASHGABAT, TURKMENISTAN, 14 JAN – Turkmenistan dan Afghanistan telah merasmikan rangkaian pengangkutan, tenaga dan komunikasi baharu, kata Turkmenistan hari ini, ketika republik bekas Soviet itu menekankan peranannya dalam pembinaan semula ekonomi Afghanistan yang dilanda konflik.

Tiga kenyataan kementerian luar negeri Turkmen mengatakan Presiden Afghanistan, Ashraf Ghani dan pemimpin Turkmenistan, Gurbanguly Berdymukhamedov telah bersidang dalam majlis pembukaan rasmi cawangan baharu landasan yang menghubungkan dua negara, talian transmisi tenaga baharu dan jalur optik gentian.

Talian transmisi tenaga berkuasa 500 kilovolt sepanjang 153km itu menghubungkan Kerki di Turkmenistan hingga Sheberghan di Afghanistan merupakan pusingan pertama dari projek tenaga Turkmenistan-Afghanistan-Pakistan yang dibiayai sebahagiannya oleh Bank Pembangunan Asia (ADB).

Bandar keempat terbesar Afghanistan, Mazar-i-Sharif merupakan bandar yang dipilih untuk menerima elektrik Turkmen, menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri.

Afghanistan dan Turkmenistan telah dihubungkan dengan landasan sejak lewat 2016 dan cawangan terkini melanjutkan talian dari sempadan penempatan Afghan, Akina (juga dieja Aqina) ke Andkhoy, bandar lain Afghan yang jaraknya 30km ke selatan.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri Turkmen, pembukaan itu ‘ditandai dengan penghantaran sebuah kereta api yang membawa 20 kereta dimuatkan dengan produk-produk eksport dari Turkmenistan’ dari stesen Akina menuju ke bandar Andkhoy’. – AFP

Lelaki Afghan bekerja di pasar material panas di Mazar-i-Sharif bandar wilayah Balkh, Afghanistan pada 7 Januari. Mazar-i-Sharif terpilih untuk menerima elektrik Turkmen. – Xinhua