Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Turun berat badan untuk rawat osteoartritis

    KUALA LUMPUR – Osteoartritis (OA) iaitu sejenis artritis yang menyerang pelbagai sendi, menyebabkan kehilangan tulang rawan, keradangan dan 80 peratusnya di bahagian lutut.

    Dianggarkan sekitar 7 peratus penduduk dunia iaitu 500 juta orang di seluruh dunia menderita OA.

    Data kajian tempatan (2019) meliputi golongan dewasa berusia 55 tahun ke atas di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya menunjukkan sebanyak 30.8 peratus responden melaporkan gejala osteoartritis lutut dan dilaporkan punca kecacatan golongan warga tua.

    Apakah punca osteoartritis (OA)?

    Perunding pakar reumatologi di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC), baru-baru ini berkongsi pandangannya mengenai OA di seminar dalam talian (webinar), ‘Osteoarthritis Care and Obesity Comorbidities – Weight Loss Solutions for Southeast Asia’, anjuran Center for Transformative Nutrition & Health of International Medical University Malaysia (IMU).

    Dr Yeap menjelaskan, terdapat banyak kemungkinan yang menyebabkan OA dan usia adalah salah satu punca penyebabnya.

    Dr Yeap berkongsi mengenai pandangannya mengenai OA. – Agensi
    Prof Henning Bliddal menyatakan tindakan terbaik menangani masalah OA ialah dengan menurunkan berat badan. – Agensi
    Sekitar tujuh peratus penduduk dunia iaitu 500 juta orang di seluruh dunia menderita OA.
    Salah satu faktor risiko besar untuk osteoartritis adalah obesiti.

    “Ini diperkuatkan dengan perangkaan terkini yang diterbitkan pada tahun 2021, antara dapatannya, bawah 10 peratus lelaki dan 14 peratus wanita berusia 50 tahun hingga 69 tahun menghidap osteoartritis pinggul dan lutut simptomatik.

    “Bagaimanapun, bagi kumpulan berusia 70 tahun ke atas, perangkaannya 18 peratus lelaki dan 25 peratus wanita,“ katanya.

    Menurut beliau lagi, jantina dan genetik juga memainkan peranan penting dan golongan hawa lebih mudah diserang OA.

    Data juga menunjukkan risiko genetik sebanyak 50 peratus atau lebih, menunjukkan separuh daripada kerentanan kepada OA dijelaskan oleh faktor genetik.

    “Bukan semata-mata usia dan jantina, mereka yang menjalani latihan yang sengit seperti atlet dan pelari maraton juga mudah diserang osteoartritis, akibat stres dan trauma sendi. Dianggarkan sekitar lima peratus kes osteoartritis lutut berkait dengan kecederaan sebelumnya,” katanya.

    Beban berat

    Dr Yeap yang juga naib presiden Persatuan Osteoporosis Malaysia, turut berkongsi kebimbangan beliau iaitu Malaysia mempunyai masalah besar yang lain untuk ditangani iaitu penduduk yang semakin tua dan ‘semakin berat’.

    “Salah satu faktor risiko besar untuk osteoartritis adalah obesiti. Penyelidikan menunjukkan 50 peratus osteoartritis lutut di Amerika Syarikat boleh dielakkan sekiranya tidak ada masalah obesiti dalam kalangan penduduknya. Di China, kadar obesiti adalah rendah dan penyakit osteoartritis hanya lapan peratus.

    “Dengan menggunakan Indeks Jisim Badan (BMI) atas 27.4 untuk takrif obesiti, Malaysia mempunyai kadar obesiti tertinggi dalam kalangan negara Asia. Satu kajian yang dibuat pada tahun 2019, sebanyak 15.6 peratus penduduk adalah obes (gemuk), “ jelasnya, sambil menambah, mereka yang gemuk mengalami masalah sendi yang teruk dan sebahagian besarnya memerlukan penggantian pinggul, lutut dan sendi.

    Seorang lagi ahli panel webinar, Profesor Penyelidikan di Parker Institute, Frederiksberg Hospital of Copenhagen, Prof Henning Bliddal, memetik satu kajian di Amerika Syarikat yang menunjukkan kenaikan 15 peratus risiko osteoartritis lutut untuk setiap satu unit titik BMI atas 27.

    Data berkenaan juga menunjukkan osteoartritis tangan hampir dua kali ganda dengan BMI atas 30.

    “Berat yang boleh menampung dalam sendi ketika berjalan ialah tiga kali ganda berat badan anda. (Ini meningkat) sekiranya anda berlari atau berjalan pantas. Ini bermakna sekiranya anda turun sekilo berat badan, ia akan mengurangkan tekanan tiga hingga empat kali ke atas lutut anda,” jelasnya.

    Penting turunkan berat badan

    Tindakan terbaik menangani masalah OA ialah menurunkan berat badan. Demikian nasihat Prof Henning yang turut memetik kajian cubaan penurunan berat badan di Copenhagen baru-baru ini.

    Menurut beliau, cubaan berkenaan mencatat kejayaan besar dengan peserta bukan sahaja berjaya menurunkan berat badan dan mengekalkannya, tetapi juga berada dalam keadaan yang amat sihat.

    “Kajian ini mempunyai tiga fasa – 16 minggu, 52 minggu dan tiga tahun. Fasa pertama bermula dengan peserta mengambil diet kalori rendah dan mereka kehilangan berat badan purata 10 kilogram dalam 16 minggu pertama. Ini menjadi inspirasi untuk peserta meneruskan program menurunkan berat badan ini.

    “Fasa kedua dan ketiga terus menggunakan pelbagai kaedah pengurusan diet seperti penggantian makanan dan intermittent diets (diet sekejap-sekejap).

    “Mereka yang kekal dalam kumpulan sokongan merejah berjaya mengekalkan berat badan. Yang banyak hilang ialah lemak. Paras vitamin D mereka lebih baik, begitu juga tekanan darah dan kesihatan kardiovaskular,” katanya.

    Selain daripada senaman biasa serta program penurunan berat badan, pesakit boleh juga memilih rawatan farmakologi lanjutan termasuk ubat antikeradangan bukan steroid non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs) serta suntikan intraarticular yang membantu mengurangkan kesakitan dan keradangan.

    Menurut Prof Henning, pembedahan penggantian lutut hanya disyorkan sebagai pilihan terakhir, untuk kes yang melibatkan gangguan yang teruk kepada kualiti kehidupan harian.

    Sementara itu, Dr Yeap menasihatkan pesakit untuk mengamalkan senaman mudah yang dapat menguatkan sendi.

    Antara kegiatan yang disyorkan bagi mereka yang menghidap OA ialah Tai Chi, yoga, berbasikal, berjalan, senaman akuatik di samping latihan kekuatan dan neuromuskular.

    “Latihan kekuatan dan aerobik boleh mengurangkan kesakitan serta memperbaiki fungsi fizikal. Ramai yang berfikir kita hanya perlu melakukan senaman kaki tetapi sebarang senaman dapat membantu pesakit yang menghidap osteoartritis lutut. Berjalan juga boleh membantu di samping senaman latihan kekuatan yang boleh memperbaiki otot dan keseimbangan.

    “Bagaimanapun, sehingga sekarang, tidak ada bukti saintifik bahawa mengambil supplements (makanan tambahan) atau makan makanan yang kaya dengan tulang rawan seperti hidangan kaki ayam membantu mereka yang menghidap osteoartritis.

    “Lagi pun, makanan tambahan hanya anti-keradangan. Ini membantu mereka yang mengalami kesakitan dan melegakan sendiri tetapi bukan menyembuhkan atau mengurangkan kerosakan sendi,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...