Oleh Nurdiyanah R. –
Suasana Pekan Tutong seakan-akan kembali ‘hidup’ dengan adanya penglibatan golongan penjaja mahupun masyarakat setempat bersantai bersama ahli keluarga dan rakan-rakan semasa menghadirkan diri ke acara Tutong Buzz.
Sebagai satu inisiatif ke arah mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif di kawasan Pekan Tutong, demikianlah harapan Majlis Perundingan Kampung (MPK) Sengkarai dengan kerjasama Jabatan Daerah Tutong, Jabatan Bandaran Daerah Tutong dan Badan Kemajuan Kreatif Daerah Tutong dalam penganjuran acara Tutong Buzz, pada penghujung bulan Oktober lalu.
“Tutong Buzz merupakan Bazar Komuniti Hujung Minggu yang turut diisi dengan acara-acara dan aktiviti yang menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi di kawasan Pekan Tutong yang dapat dimanfaatkan oleh komuniti pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan bukan hanya di Daerah Tutong bahkan juga daerah-daerah lain,” ujar Ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Awang Abdul Aziz bin Haji Hamdan yang juga selaku Ketua Kampung Sengkarai semasa ditemui Media Permata, baru-baru ini.
BERKONGSI REZEKI DEMI SAUDARA ISLAM PALESTIN
Dalam pada itu, Yang Berhormat Awang Abdul Aziz turut menjelaskan acara berkenaan selain bertujuan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi di kawasan perbandaran Pekan Tutong yang boleh dimanfaatkan oleh golongan PMKS khususnya Satu Kampung Satu Produk (1K1P), acara juga diselitkan dengan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin Gaza Tahun 2023.
“Dalam kesenangan dan kemewahan yang kita nikmati bersama ahli keluarga dan masyarakat setempat, namun jangan sesekali kita melupakan saudara-saudara Islam kita khususnya di Palestin yang mengalami penderitaan hidup sekian lama sehingga kini.
Bantulah sekadar yang termampu untuk sama-sama memberikan sumbangan wang ringgit seikhlas hati kerana dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain. Bahkan, tidak miskin bagi sesiapa yang bersedekah kerana ganjaran pahala amat besar di sisi Allah SWT,” ujarnya.
SUASANA CETUS IMPAK POSITIF
Yang Berhormat Awang Abdul Aziz juga menambah pelbagai produk 1K1P merangkumi makanan dan minuman, seni kraf tangan, anyaman dan sebagainya yang diketengahkan oleh golongan pengusaha tempatan telah memeriahkan acara berkenaan kerana ia jelas menonjolkan semangat juang mereka dalam usaha berinovasi, rela berjarih dan berkarih hingga mendorong keupayaan ke arah kematangan dan sikap berdikari demi menjana perekonomian diri, keluarga dan juga negara.
Di samping itu, salah seorang pengunjung berasal dari Kampung Lubok Pulau, Daerah Tutong turut berkesempatan mengongsikan dengan adanya acara sedemikian, ia mampu memberikan pengalaman yang berharga, termasuk kesedaran mengenai perlunya keseimbangan hidup untuk menjaga kesihatan mental dan fizikal di samping menerokai curahan ilmu pengetahuan daripada pengusaha setempat yang mengetengahkan variasi produk sentuhan kraf tangan asli mereka seperti koleksi anyaman dan dastar.
“Menyaksikan semangat para penjaja mencari rezeki di sekitar pekan ini sejujurnya mampu mewujudkan impak yang positif dalam jiwa generasi muda sendiri untuk memahami erti kehidupan berdikari yang sebenar lebih-lebih lagi dalam memanfaatkan masa terluang dengan sebaik-baiknya selagi masih dikurniakan rezeki kesihatan dan tenaga,” tambahnya.