Oleh Normazlina M.D
TUTONG, 25 Sept – Kira-kira 20 orang penunggang motosikal dari Persatuan Penunggang Motosikal N.E.W Tanpa Had (NNLR), Tutong dan kelab-kelab motosikal terbesar dari Negeri Sembilan, N9 Riders yang mengikuti Kembara Borneo Unity Ride 2017 telah mengadakan lawatan ke Daerah Tutong, petang tadi.
Hadir mengikuti lawatan ialah Presiden NNLR, Haji Ariffin bin Haji Matdiah dan Presiden N9, Nor Azimal Suliman.
Lawatan dimulakan di Galeri 1K1P, Jabatan Daerah Tutong di mana mereka dialu-alukan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas, Dayang Siti Joriahati binti Haji Johari.
Rombongan seterusnya melawat Pusat Kegiatan Warga Emas Tutong, Ladang Madu Kelulut Tasbee di Sungai Kelugos dan ke Kampung Kiudang di mana rombongan berkesempatan menyaksikan pemprosesan Teh Herba 3MPK dan Galeri Ariffin.

Adapun tujuan lawatan adalah bersempena Program Kembara Jelajah Perpaduan dan Integrasi antara Semenanjung Malaysia, Kalimantan, Brunei, Sabah dan Sarawak dan juga mengenali Daerah Tutong secara lebih dekat di samping dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama peminat-peminat motosikal di negara ini.
Rombongan seterusnya akan berkumpul bersama penunggang motosikal di negara ini dengan mengadakan barbeku dan seterusnya bermalam di Kampung Sengkarai.
Rombongan akan berlepas dari negara ini esok pagi untuk menuju ke Kuala Penyu, Sabah.