Tutorial kreatif hiburkan kanak-kanak Arab

LOS ANGELES – Idea tersebut hanya terdetik dalam fikiran artis kartun animasi Hollywood Reem Ali Adeeb semasa perbualan telefon bersama adik perempuannya di Qatar.

Seperti kebanyakan rantau lain di seluruh dunia, kanak-kanak di Timur Tengah terkurung di rumah disebabkan pandemik COVID-19, akan tetapi tidak terdapat isi kandungan dalam talian asli dalam Bahasa Arab untuk menghiburkan mereka, seperti tutorial dan aktiviti lain yang menyeronokkan.

Maka Ali Adeeb, seorang artis kartun animasi yang bekerja di Warner Bros. Entertainment di Los Angeles, dan adik perempuannya Sandi, seorang pensyarah farmasi di universiti Qatar, memutuskan untuk melakukan sesuatu.

Pasangan itu memperkenalkan ‘Susupreemo,’ satu saluran YouTube bertujuan membantu kanak-kanak yang bertutur bahasa Arab – dan ibu bapa mereka yang berasa tertekan – untuk mengatasi lockdown koronavirus menerusi tutorial asas mengenai lukisan, menghasilkan origami atau hanya membaca buku kanak-kanak, kesemuanya dalam bahasa Arab.

“Ideanya adalah menghasilkan video untuk membabitkan kanak-kanak,” kata Ali Adeeb, yang telah menghasilkan rancangan kanak-kanak di Warner Bros., termasuk ‘Green Eggs and Ham,’ siri kartun animasi Netflix berdasarkan buku klasik Dr Seuss.

Artis Reem Ali Adeeb bekerja di apartmen studio di Los Angeles, California di mana beliau mengadakan tutorial dalam talian dalam bahasa Arab untuk kanak-kanak. – AFP
Reem Ali Adeep menunjukkan penerbitan Netflix ‘Green Eggs and Ham’ di mana beliau bekerja di studio apartmen di Los Angeles, California. – AFP
Reem Ali Adeeb menunjukkan perkataan ‘Mari melukis’ dalam bahasa Arab ketika bekerja di studionya di Los Angeles, California pada 29 April. – AFP
Artis Reem Ali Adeeb bekerja di apartmen studio di Los Angeles, California di mana beliau mengadakan tutorial dalam talian dalam bahasa Arab untuk kanak-kanak. – AFP

“Terdapat pelbagai isi kandungan dalam talian dalam bahasa Inggeris untuk kanak-kanak tetapi tidak adanya isi kandungan asli yang cukup dalam bahasa Arab,” tambah artis berusia 34 tahun yang sedang bekerja di rumah sekarang untuk musim kedua rancangan Netflix. “Oleh itu matlamat utama adalah menjadikan masa skrin mereka bersifat interaktif dan penuh inspirasi dengan melukis bersama mereka, membacakan mereka cerita ataupun melakukan seni pertukangan.”

Ali Adeeb berkata anak lelaki adik perempuannya yang berusia 7 tahun, Omar, juga menyertai dalam aktiviti menyeronokkan itu, menawarkan tutorial origami kepada rakan sebayanya.

“Dia adalah yang terbaik. Dia telah melakukan paling banyak di antara kami dengan tiga video dirakamkan sekarang,” kata beliau.

Ali Adeeb sendiri menggunakan beberapa watak daripada ‘Green Eggs and Ham,’ terutamanya Chickeraffe, kacukan ayam atau zirafah, untuk menarik penonton muda ke dalam dunianya.

Sandi pula menarik tumpuan penonton muda dan membenarkan imaginasi mereka melayang dengan membacakan mereka buku kanak-kanak.

“Saya fikir saya akan membaca untuk kanak-kanak pada masa di mana membeli dan meminjam buku adalah amat mencabar, terutamanya bagi sesetengah budak-budak kurang bernasib baik di beberapa negara Arab,” beritahunya kepada AFP menerusi e-mel.

“Saya memulakan rancangan dengan membaca sebuah buku yang sesuai untuk kanak-kanak berusia 3 hingga 6 tahun dan sekarang saya memilih lebih banyak buku yang boleh melibatkan kanak-kanak untuk masa yang lebih lama,” tambah beliau.

Setakat ini, program tersebut menerima sambutan amat positif dengan kanak-kanak tidak sabar-sabar berkongsi lukisan mereka menerusi e-mel dan ibu bapa bersyukur dengan peluang yang membolehkan mereka mengadakan mesyuarat dalam talian tanpa diganggu oleh anak-anak ataupun mempunyai masa untuk diri mereka sendiri.

Di satu rantau yang sering dibelenggu peperangan, dan di mana kanak-kanak menghadapi realiti sukar walaupun sebelum pandemik, pakar berkata tutorial sedemikian menawarkan budak-budak satu kelegaan sama ada dari keselesaan rumah mereka atau pun dalam kem pelarian.

“Sekarang, kanak-kanak di seluruh dunia terkurung dalam rumah mereka dan kanak-kanak di Timur Tengah tidak terkecuali,” kata Annamaria Laurini, bekas ketua UNICEF di Lubnan.

“Secara tiba-tiba dunia mereka sendiri telah pun lenyap – tidak adanya sekolah, tidak ada masa bermain bersama kawan mereka dan juga tidak ada interaksi manusia kecuali dengan keluarga mereka,” tambah beliau.

“Ia adalah realiti kesepian yang menjadikannya sukar untuk berangan-angan, yang membataskan imaginasi mereka dalam dinding bilik mereka – itu pun jika mereka bernasib baik mempunyai bilik.”

Soha Bsat Boustani, pakar runding UNICEF yang berpangkalan di Beirut, berkata tutorial YouTube amat diperlukan di sebuah rantau di mana bahan dalam bahasa Arab untuk kanak-kanak adalah ketinggalan dari segi kreativiti dan inovasi.

“Dan dengan itu, inisiatif seperti ‘Susupreemo’ hanya dapat dilihat dalam perspektif positif kerana ia memberikan kanak-kanak cara yang sihat untuk mereka keluar dari kurungan dan satu perasaan normal.”

Setakat ini Ali Adeeb, adik perempuan dan anak saudaranya telah menerbitkan tujuh video dan mereka berharap dapat meneruskan projek mereka walaupun selepas pandemik.

“Sekarang saya tengah memikirkan untuk mengajar kanak-kanak bagaimana melukis watak kartun popular, dan saya berharap dapat membuka ruang ini kepada artis lain,” kata beliau.

“Saya mempunyai seorang kawan yang juga seorang penari dan saya mahu dia mengajar budak-budak bagaimana menari.

“Terdapat banyak lagi yang boleh kami lakukan.” – AFP