Ketika pulang daripada kerja lewat malam, saya melihat hanya ada beberapa buah kereta yang lalu lalang di kawasan bandar.
Apabila tiba di kawasan pusing keliling, lampu isyarat merah menyala, jadi saya pun memberhentikan kereta.
Meskipun keadaan jalan sebenarnya sedikit lengang setelah jam 10:30 malam, menunggu lampu bertukar kepada hijau dirasakan amat lama sekali.
Bayangkan menunggu secara statik selama 30 hingga 45 saat sebelum lampu bertukar kepada hijau adalah sama seperti berada terlalu lama di jalan, membazir waktu sekali gus mendatangkan bahaya apalagi bila bersendirian.
Umum mengetahui fungsi lampu isyarat pada dasarnya adalah untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas agar pergerakan kenderaan berjalan dengan lebih teratur.
Ia juga ditempatkan di persimpangan jalan, lintasan pejalan kaki dan lokasi yang dirasakan perlu.
Tidak dinafikan, kewujudan lampu isyarat mampu mempertingkatkan kawalan peredaran lalu lintas yang lebih efisien dan bersistematik, selain meningkatkan tahap keselamatan jalan raya di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, saya menyeru kepada pihak berkenaan atau agensi pemantauan lalu lintas agar dapat mempertimbangkan supaya menghentikan atau menutup lampu isyarat selepas jam 11 malam atau lebih awal lagi.
Penutupan lampu isyarat setelah jam tersebut dirasakan lebih sesuai kerana tidak banyak lagi kenderaan berada di jalan raya dan pengguna lain tidak perlu menunggu lama jika tidak ada kenderaan lain dari arah bertentangan.
Di samping itu, penutupan tersebut juga boleh menjimatkan elektrik, ekonomi dan menjaga alam sekitar.
Pungguk Malam